Sebuah laman web pendukung Datuk Seri Najib Razak menuntut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjelaskan kerjasamanya dengan syarikat yang dikaitkan dengan penyanyi kontroversi Namewee tahun lalu.

MYKMU membangkitkan kerjasama dengan Prodigee Media Entertainment sebagai jambatan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berminat untuk meneroka pengeluaran filem di negara ini.

Laman itu berkata, Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee, 33, sentiasa menerbitkan video-video yang menghina orang Melayu, agama Islam dan kerajaan Malaysia.

Ini, katanya, termasuk yang terbaru klip video “Oh My God” yang dibuat di sebuah masjid di Pulau Pinang.

“Apakah wajar Finas terbabit dengan seorang manusia yang sepanjang kerjaya beliau menghina orang Melayu, kerajaan dan Islam di negara ini?” soalnya.

Namewee menafikan dakwaan beliau anti-Islam sebaliknya menegaskan Islam sebuah agama damai.

Bekas pelajar komunikasi massa di Taiwan itu sebelum ini pernah terpalit kontroversi dakwaan menghina lagu kebangsaan, kontroversi mengkritik seorang duru besar dan pegawai TNB.

MYKMU hari ini mengungkit kembali laporan The Star pada April 2015 yang melaporkan Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman berkata mahu mengukuhkan keberadaan mereka di China memandangkan negara itu pusat aktiviti kebudayaan dan filem.

Kamil berkata Prodigee juga akan mempromosikan kandungan kreatif Malaysia di atas talian melalui saluran media digital WebTV Asia milik Prodigee.

Jumaat minggu lepas, Prodigee menandatangani kerjasamanya strategik dengan pelabur China untuk kerjasama pengeluaran filem.

The Star melaporkan Prodigee diasaskan pada 2005 dan pernah menerbitkan filem Namewee, Hantu Gangster dan Kara King.

Laman Prodigee mengakui media digital WebTVAsia yang dimilikinya mengakui “Namewee & Joyce Chu” adalah rakan pembekal kandungannya di Malaysia.

Gambar Namewee turut dimuatkan di laman web itu.