Ketika berdepan dakwaan menghina Islam, penyanyi kontroversi Namewee hari ini tampil menegaskan bahawa Islam salah satu agama yang aman dan damai.

“Namewee juga menegaskan bahawa wujud salah sangka dari pelbagai pihak terhadap agama Islam dan dia sering menjelaskan pada semua bahawa umat Islam di Malaysia tidaklah seperti yang di buruk-burukkan dalam surat khabar atau media,” katanya.

Kenyataan dalam bahasa Melayu itu diedarkan oleh seorang pembantunya hari ini.

Baru-baru ini penyanyi dan pengarah filem telah terlibat dalam sebuah lagu baru bertajuk “Oh My God” bersama sebuah kumpulan Taiwan.

Lagu dalam Bahasa Mandarin ini telah mencetuskan kontroversi serta menimbulkan kemarahan.

Beberapa laporan polis telah dibuat oleh kumpulan NGO Islam dari Pulau Pinang berhubung lagu yang dikatakan menghina serta mempermainkan Islam itu.

Dalam muzik video tersebut Namewee antaranya dilihat menari bersama penyanyi Taiwan Nine One One itu dalam Masjid Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Galak keharmonian kaum

Polis Pulau Pinang telah membuat kenyataan untuk menahan mereka sebaik pulang ke tanah air untuk siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, Namewee berkata lagu tersebut ditulis untuk memupuk dan menggalakkan keharmonian antara kaum.

Namewee berkata banyak peperangan dan perselisihan berpunca daripada kepentingan politik sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri.

Sehubungan itu, penyanyi kelahiran Muar, Johor menyeru semua pihak tidak diperalatkan media dengan agenda memburukkan agama Islam.

“Agama Islam adalah salah satu agama yang aman dan damai serta (jadi saya) menggesa supaya masyarakat tidak terjerumus ke dalam perangkap sesetengah media yang cuba untuk mencemarkan nama Namewee.

“Namewee mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa hidup dalam harmoni dan tidak berpecah-belah,” kata Namewee.

Menurut Namewee, video yang tersebar luas di Internet tidak dikeluarkan di laman sosial beliau.

Video penjelasan 7 minit

Namewee pada Selasa memuat naik video 7 minit di YouTube bagi menjelaskan kontroversi itu.

Namewee berkata lagu baru yang ditulisnya itu tidak mengandungi bahasa kasar, unsur lucah atau menghina dan mempermainkan mana-mana agama.

“Dalam video tersebut ada empat orang memakai pakaian dari empat agama berbeza iaitu sami, pendeta Tao, orang Arab dan Nabi Isa di mana mereka pergi bercuti di Pulau Pinang untuk bawa mesej keamanan dalam setiap agama yang berbeza,” kata Namewee.

Menurut Namewee, terdapat banyak peperangan dalam negara yang berpunca daripada kepentingan politik sesetengah pihak yang menyalah guna agama, sehingga berperang dan membunuh-bunuhan.

Sebaliknya, Namewee berkata beliau percaya setiap agama menggalakkan percintaan, saling bermaafan dan saling menerima dengan ikhlas.

“Mesej lagu ini adalah untuk memupuk keharmonian dalam agama yang berbeza. Saya percaya tuhan anda tak akan halang sesiapa membuat seni (lagu) cuma manusia sahaja suka cari pasal.

“Semua sekatan, kebencian dan pergaduhan berpunca dari manusia yang bodoh dan tak ada kerja lain,” kata Namewee.

Namun katanya, semua perkara yang dimuatkan dalam muzik video hanya untuk lawak sahaja seperti komedi.

Menyentuh soal rumah ibadah, Namewee menegaskan beliau bukan sahaja pergi ke masjid sebaliknya mereka turut mengunjungi kuil India, tokong Buddha Siam, gereja Tao dan gereja Katolik.

“Sebenarnya kita rakam video sekejap sahaja dan tak buat bising serta mengikut segala peraturan masjid seperti budak baik,” kata Namewee.

Klip video yang dimuat naik di YouTube pada awal Selasa telah ditonton oleh 386,599 pengguna setakat ini.