Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Barangkali ‘badi’ membawa peranan sebagai pemilik saka dalam Aliff dalam 7 dimensi, pelakon Izzue Islam mengalami gangguan tidur sehingga meracau.

Menurut Izzue, 26, keadaan itu dialaminya beberapa kali semasa menjalani dan selepas berakhir penggambaran 25 hari di sekitar Lembah Klang.

“Saya mengalami mimpi buruk sambil menjerit-jerit 'Allahuakbar' ketika tidur. Mana tidaknya, penggambaran kebanyakannya dibuat bermula pada waktu senja dan ada kalanya hingga ke subuh.

“Tetapi seburuk mana pun mimpi dialami, saya langsung tidak dapat mengingati setiap detik yang berlaku ketika itu.

“Alhamdulillah tidak dikacau oleh makhluk halus semasa di set penggambaran tetapi ia mungkin disebabkan saya terlalu mendalami watak dan cuba membayangkan entiti itu ada di mana-mana.

“Mungkin saya terbawa-bawa perkara itu sampai tidur,” katanya yang mengaku memberi 200 peratus usaha untuk menjayakan wataknya itu.

Izzue atau nama penuhnya Muhammad Izzul Islam Mazlan ditemui ketika malam tayangan perdana Aliff dalam 7 dimensi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem berkenaan mengisahkan Aliff Lamin, pelajar universiti yang berkebolehan melihat entiti paranormal.

Selepas kelebihan Aliff diketahui oleh rakan-rakannya, dia menyertai pasukan mereka dan membantu menjalankan kajian seperti mencari serta merakam aktiviti makhluk halus.

Antara pelakon yang turut menjayakan Aliff dalam 7 dimensi adalah Juliana Evans yang memegang peranan sebagai Anna dan Alif Satar (sebagai Naim).

Izzue yang juga anggota kumpulan Forteen - penyanyi padu suara berkonsepkan pop balada bawah naungan KRU Records - mengakui detik mengalami mimpi itu membuatkan tidurnya tidak lena.

'Diselamatkan' isteri

Namun, mimpi buruk Izzue tidak berpanjangan apabila dia cukup bernasib baik kerana ‘diselamatkan’ oleh isteri Nurinafilah Waharudin atau Awin Nurin yang tidur bersebelahan.

Kejadian cemas itu menurut Awin bermula sebaik dia terdengar suara suaminya yang menjerit dengan kuat sambil pejam mata.

Saat itu katanya, dia tahu Izzue sedang mengalami mimpi tidak elok, lalu memberanikan diri untuk mengejut si suami bangun dari tidur.

“Pada awalnya saya turut bimbang melihatkan keadaan suami, tetapi daripada membiarkan dia mengalami keadaan itu berpanjangan saya kuatkan diri untuk membantunya dan memintanya beristighfar,” katanya.

Pada masa sama, Awin tidak menolak kejadian seumpama itu berlaku disebabkan kecuaian Izzue sendiri.

Katanya, selepas pulang daripada menjalani penggambaran, dia sering menasihati Izzue supaya tidak berlengah membersihkan diri.

Bagi Awin, ia adalah satu amalan kebiasaan yang sebaiknya dilakukan sebelum tidur malam.

“Saya seringkali memberitahu Izzue supaya mandi dahulu baru buat kerja lain sebaik masuk ke dalam rumah.

“Tetapi dia sering degil, malah leka pula berehat menonton televisyen atau makan terlebih dahulu.

“Sebab itulah dia mudah mengalami mimpi tidak diingini,” katanya.

Lihat Komen
ADS