Selepas 14 kali muncul sebagai gadis penghias Playboy, bekas model majalah itu Pamela Anderson menyuarakan pandangannya menentang pornografi.

Pamela, 48, tidak keseorangan kerana turut menyuarakan pendapat sama adalah seorang pemain ragbi, Rabbi Shmuley Boteach.

Pandangan Pamela dan Rabbi itu disuarakan melalui artikel yang disiarkan oleh Wall Street Journal.

Ia turut memetik skandal mesej lucah membabitkan bekas Ahli Kongres Demokrat Anthony Weiner sebagai contoh bahaya pornografi dan mengapa gejala berkenaan harus dikekang.

Anthony pernah terbabit dalam tiga skandal seks membabitkan mesej lucah dihantar menerusi telefon bimbit hingga mengakhiri jawatannya sebagai ahli kongres pada 2011.

Kali kedua adalah semasa cubaannya untuk kembali sebagai calon Datuk Bandar New York dan terakhir skandal terjadi pada 2015, yang menyebabkan perceraian dengan isterinya Huma Abedin.

Artikel itu antara lain menyatakan pornografi menyebabkan ketagihan, selain statistik sedia ada terhadap akses bahan lucah adalah menakutkan.

Memetik data Persatuan Psikologi Amerika Syarikat, artikel itu menyebut langganan pornografi adalah antara 50 peratus hingga 99 peratus bagi lelaki dan 30 peratus hingga 86 peratus bagi wanita.

Mereka juga berpendapat masyarakat perlu dididik bahawa pornografi tidak mendatangkan manfaat dan individu terlibat dengan gejala itu tidak meraih keuntungan daripada seks sihat.

Kali terakhir Pamela beraksi untuk majalah Playboy adalah pada Disember tahun lalu sebagai penghias muka depan untuk edisi Januari/ Februari 2016.

Penampilan Pamela itu menandakan berakhirnya tradisi lebih 60 tahun Playboy di pasaran dunia yang menyaksikan pelbagai selebriti wanita dari Madonna hingga Kim Kardashian termasuk Cindy Crawford mendedahkan tubuh untuk majalah terbitan lelaki berkenaan.

Dalam keluaran berkenaan, Pamela diberi keistimewaan 12 halaman bergambar dan diwawancara oleh pelakon James Franco.