Pelakon filem Hong Kong, Jackie Chan baru-baru ini diumumkan bakal menerima Anugerah Oscar istimewa berikutan pencapaiannya dalam filem antarabangsa khususnya di Hollywood.

Akademi Filem Seni dan Sains yang menganjurkan Oscar mengumumkan pelakon yang terkenal dengan filem aksi dan lagak negeri itu itu bakal menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman dalam majlis Anugerah Gabenor ke-8, November ini.

Penghargaan itu diberikan berikutan kejayaannya menghasilkan filem bertaraf box-office seperti Rumble in the Bronx, Shanghai Noon, Rush Hour, Karate Kid, serta filem animasi Kung Fu Panda.

“Dia berjaya memikat hati penonton menerusi aksi atletik, pelagak ngeri kreatif dan karisma yang tidak terbatas,” kata kenyataan seperti dilapor CNN.

Jackie menganggap anugerah itu merupakan pencapaian tertinggi sepanjang 56 tahun terlibat dalam industri filem.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak yang menganugerahkan Oscar, saya menganggap ia sebagai dorongan selain mengiktiraf pencapaian sejak saya masih muda.

“Saya begitu berbangga kerana berpeluang menjadi warganegara China pertama dalam sejarah yang bakal menerima anugerah ini,” katanya yang telah membintangi lebih 200 buah filem sejak berusia 6 tahun.

Sementara itu Jackie turut berkongsi penghargaan bersama kumpulan aksi lagak negeri, JC Stunt yang menjadi tulang belakang kariernya.

Katanya, bukan mudah untuk menghasilkan sesebuah filem aksi kerana kecederaan merupakan perkara biasa bagi mereka.

“Kebanyakan daripada mereka mengalami kecederaan tubuh dan saya juga tidak terkecuali. Kerana itulah saya ingin berkongsikan penghargaan ini buat JC Team,” katanya yang berharap penghargaan itu tidak akan menamatkan peluangnya merebut anugerah Oscar pada masa depan.

Selain Jackie, turut dijangka menerima anugerah sama adalah pembuat filem dokumentari Frederick Wiseman, pengarah pemilih pelakon Lynn Stalmaster dan penyunting filem Anne V Coates.