Gitaris terkenal dan pengasas kumpulan Lefthanded Man Kidal menafikan terbabit dalam sebarang kegiatan pengubahan wang haram yang dikatakan berpunca dari syarikat miliknya Global Tijari.

Menurut Man Kidal atau nama asalnya Rahman Mahmood, 53, sekurang-kurang lima individu didapati memanipulasi nama dan syarikatnya untuk mendapatkan keuntungan atas angin.

"Saya mendapati kesemua individu berkenaan cuba merosakkan nama dan syarikat yang baru ditubuhkan sejak tahun lepas.

"Tindakan ini dikesan berlaku sejak sebulan lalu dan mula berlegar di media sosial, Facebook khususnya,'' katanya yang juga pengerusi Global Tijari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat MK Label Sdn Bhd, Petaling Jaya hari ini.

Sehubungan itu, ekoran kejadian berkenaan, Man Kidal membuat laporan polis pada 2 September lalu di Balai Polis Sungai Pelong, Selangor.

Kata Man Kidal laporan tersebut dibuat bagi membersihkan namanya yang tercemar dan memastikan individu yang bersalah disiasat.

"Setakat ini belum ada kerugian dilaporkan membabitkan syarikat saya.

"Tetapi laporan dibuat kerana saya bimbang dan bagi mengelak nama syarikat tercemar dan fitnah berlanjutan," katanya.

Sehubungan itu, Man Kidal menyerahkan isu terbabit kepada pihak berkuasa dan menunggu tindakan selanjutnya.

"Setakat ini polis masih menjalankan siasatan dan berharap isu ini dapat segera diselesaikan," katanya lagi.

MK Label adalah salah satu syarikat di bawah Global Tijari yang menguruskan produk kecantikan dan kesihatan diri.

Syarikat MK Label menjalankan perniagaan jual beli produk yang tidak membabitkan pelaburan dan pengambilan deposit.

Setakat ini Man Kidal mempunyai sekurang-kurang 12 anak syarikat di bawah Global Tijari yang dijalankan atas namanya seperti NSR Enterprise, MK Automotive Sdn Bhd, MK Industries dan MK Resort Sdn Bhd.