'Get up', Bryan Adams akan gegar Stadium Malawati
Penyanyi terkemuka Kanada Bryan Adams bakal menghiburkan peminat di Malaysia bagi konsert Get Up Tour pada 21 Januari tahun depan.
Konsert itu diadakan sebagai langkah mempromosi album ke-13 Bryan yang juga menggunakan nama sama Get Up.
Konsert Get Up Tour itu bakal berlangsung di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor.
Album Get Up dijual secara digital di Australia dan New Zealand pada 2 Oktober 2015.
Ia kemudian diedarkan di seluruh dunia pada 16 Oktober 2015 oleh Universal Music dan diterbitkan oleh penyanyi utama ELO Jeff Lynne dan ditulis bersama Jim Vallance.
Album berkenaan menampilkan sembilan lagu baharu dan empat versi akustik yang semua sekali berjumlah 13 trek.
Bryan terkenal dengan lagu hits seperti (Everything I Do) I Do It For You, Please Forgive Me, Summer of 69, Here I Am, All For Love dan Have You Ever Really Loved a Woman.
Artis yang pernah beberapa kali memenangi pelbagai anugerah itu berjaya menjual 100 juta rekod dan single di seluruh dunia, mengadakan konsert jelajah di enam benua.
Selain album studio, penyanyi bersuara serak basah itu juga pernah menerbitkan lima album kompilasi, dua album runut bunyi, lima album live dan 69 singles.
Manakala di sepanjang perjalanan karier muziknya, Bryan pernah menerima pelbagai anugerah termasuk 20 Anugerah Juno antara 56 pencalonan dan 15 Anugerah Grammy.
Kaunter tiket mula dibuka sejak semalam.

