Isyana gigih kejar mimpi
Penyanyi Indonesia Isyana Sarasvati mengimpikan memiliki dan menguruskan sebuah studio muzik suatu hari nanti.
Kata Isyana, 23, segala karya dan aktiviti berkaitan muzik diharap dapat dihasilkannya di bawah satu bumbung.
"Ya itu impian yang perlu saya usahakan.
"Di dalam pusat itu akan ada studio muzik, penghasilan karya dan bermacam-macam lagi," katanya seperti dilapor KapanLagi.
Bagaimanapun, Isyana berkata untuk memenuhi hasratnya itu ia tidak akan menjadi perkara mudah.
Untuk menjayakan cita-citanya itu dia perlu bekerja keras selain memerlukan waktu dan memberi fokus yang tinggi untuk merealisasikan keinginannya.
"Untuk mengendalikan pusat itu semuanya atas usaha diri sendiri dan perlu dilakukan sebaik mungkin," katanya.
Dalam pada itu Isyana kini sedang sibuk menyiapkan single terbaru yang diambil dari album Explore.
Karya ini muncul selepas video klip Mimpi disiarkan pada Mei lalu.
"Tarikh akan dikeluarkan belum pasti. Mungkin bulan ini atau bulan depan," katanya.
Setakat ini tiga single dari album sama sudah diterbitkan iaitu Keep Being You dan Paseban Cafe pada 2014, serta Tetap Dalam Jiwa pada 2015.
Isyana memiliki bakat dalam bidang muzik sejak berumur tiga tahun.
Bakat seni mengalir dalam tubuhnya sejak kecil kerana ibunya Sapta Dwikardana seorang guru vokal, pengajar electone dan piano.
Ari Lasso antara pemuzik yang memandang tinggi bakat Isyana dan pernah menyatakan hasrat untuk berkolaborasi dengan gadis ayu itu.

