Redha rangkul tiga lagi anugerah di Rusia
Sejarah demi sejarah dilakarkan oleh filem Redha apabila berjaya merangkul tiga anugerah di Festival Filem Muslim Antarabangsa Kazan yang berlangsung di Rusia semalam.
Kejayaan itu pula diraih ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut kedatangan Aidiladha.
Di festival berkenaan, filem arahan Tunku Mona Riza itu juga memenangi dua anugerah khas.
Pertama, anugerah khas pilihan presiden republik Tatarstan untuk kemanusiaan dalam sinematografi. Hadiah berkenaan disampaikan oleh naib presiden Tatarstan.
Dan anugerah khas kedua pula daripada pengkritik filem Rusia.
Redha turut menerima anugerah pelakon lelaki terbaik bagi filem berciri standard yang dimenangi oleh Nam Ron, Harith Haziq dan Izzy Zulkhazreef.
Terdahulu, Redha meraih dua anugerah di Festival Filem Filipina 2016 yang berlangsung di Manila pada Ahad lalu.
Filem berkenaan memenangi anugerah pelakon wanita Terbaik menerusi lakonan isteri Nam Ron, Jun Lojong dan anugerah khas juri.
Redha memaparkan kisah pergelutan suami isteri dalam membesarkan anak mereka yang mempunyai masalah autisme.
Satu persatu cabaran terpaksa ditempuhi oleh pasangan itu semasa membesarkan anak istimewa mereka.
Cabaran tidak terhenti di situ, hubungan jernih yang terbina sebagai suami isteri turut teruji apabila pasangan itu melalui detik sukar membesarkan anak autistik.
Redha turut dibarisi oleh Remy Ishak, Nadiya Nissa dan Ruminah Sidek.

