Mungkin tidak ramai menduga selama ini bintang Bollywood Amir Khan dan Shah Rukh Khan tidak mengikuti antara satu sama lain di laman Twitter.

Menerusi semakan Malaysiakini hari ini, Amir Khan yang mempunyai pengikut seramai 1.7 juta itu hanya mengikuti seramai 736 pengguna Twitter dan Shah Rukh tidak berada dalam senarai tersebut.

Shah Rukh yang mempunyai pengikut seramai 21.1 juta pula hanya mengikuti 81 pengguna Twitter termasuk Salman Khan, Hrithik Roshan, dan Amitabh Bachchan.

Memetik laporan Bollywoodlife, laman web atas talian itu menduga sekiranya perseteruan antara kedua-dua aktor itu masih belum reda.

Hubungan Amir Khan dan Shah Rukh sebelum ini memburuk ekoran kedua-dua pelakon itu sering bertelagah dan membuat kenyataan umum tidak menyukai antara satu sama lain.

Pada 2008, Amir Khan pernah menyamakan Shah Rukh seperti anjing.

“Shah Rukh sedang menjilat kaki sambil saya menyuapkan biskut ke dalam mulutnya.

“Tiada apa lagi yang boleh saya minta,” katanya.

Bagaimanapun, Amir Khan kemudian menjelaskan nama Shah Rukh kebetulan adalah sama dengan nama anjingnya.

Shah Rukh bagaimanapun tidak berdiam diri, sebaliknya mengeluarkan ungkapan berbentuk sindiran pada 2014 ketika tayangan filem lakonan Amir Khan, PK.

Walaupun kerap kali sindiran dibuat, kedua-dua pelakon itu masih ingin menunjukkan mereka ‘berkawan’ dan kata-kata dilontarkan kononnya hanyalah sebagai gurauan.