Ruhainies mengaku masih solo
Pelakon baru yang namanya sedang meningkat naik, Ruhainies mengaku masih solo walaupun sebelum ini disebut-sebut menjadi kekasih Azrel Ismail.
Menurutnya, hubungan dengan aktor itu cuma sebagai teman rapat, malah mereka tidak pernah keluar bersama seperti mana-mana pasangan kekasih.
Ruhainies sebelum ini menerusi sebuah ruangan hiburan dilaporkan sedang menjalin cinta dengan Azrel sejak setahun lalu.
"Saya tahu mengenai kenyataan disiarkan akhbar itu sebelum ini malah sedang bersama Azrel ketika dia ditemubual.
"Pada ketika itu, kami berdua berada di sebuah stesen radio sebagai artis jemputan.
"Yang boleh saya katakan, Azrel dan saya selesa berkawan.
"Sekiranya kelibat kami sering dilihat bersama seolah berkepit di sesuatu majlis cumalah satu kebetulan malah hanya atas dasar bekerja," katanya.
Ruhainies atau nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, ditemui ketika majlis pelancaran pusat kecantikan wajah Naarabelle Facespa di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Ruhainies pernah menjadi sebutan dalam kalangan peminat hiburan apabila dia dikaitkan dengan suami kepada penyanyi Adira Suhaimi, Datuk Seri Adnan Abu.
Menerusi sebuah klip video, Adnan atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk Red dilihat memeluk mesra pinggang Ruhainies ketika berjalan di sebuah kompleks beli-belah.
Meskipun bimbang kenyataan bercanggah boleh menimbulkan kemarahan peminat, Ruhainies bagaimanapun mengakui Azrel, 31, pernah mengungkapkan perkataan "suka" terhadap dirinya.
Namun, katanya, perkataan itu tidak menjurus pada satu makna khusus sebaliknya mempunyai seribu satu maksud.
Pelakon drama Menantu Ting Tong itu juga tidak pula menolak sekiranya satu hari nanti dia ditakdirkan menamatkan zaman bujangnya dengan Azrel.
"Azrel seorang pemuda yang baik, kuat bekerja malah ibu saya juga menyifatkan lelaki itu mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada orang tua.
"Kemesraan saya dengan Azrel bermula sejak masuk industri, kalau ada jodoh adalah.
"Tetapi umur saya masih muda untuk memikirkan soal kahwin dan perjalanan karier dalam bidang lakonan pula masih panjang untuk ditempuhi," katanya.

