Siri televisyen HBO Game of Thrones dan Veep merangkul anugerah utama dalam Anugerah Emmy di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Ahad.

Ini kali kedua Veep, satira politik, dan Game of Thrones, fantasi sejarah yang masuk musim ketujuh, menangi anugerah siri komedi dan drama terbaik.

Game of Thrones dicalonkan untuk 23 anugerah dan membawa pulang 12 daripadanya, sama seperti rekod pada 2015, lapor dpa.

Veep yang dicalonkan sebanyak 17 anugerah membawa pulang tiga trofi termasuk bagi Pelakon komedi Utama Wanita Terbaik yang dimenangi selama lima tahun berturut-turut - Julia Louis- Dreyfus.

Sebuah lagi drama bersiri bertemakan jenayah The People vs OJ Simpson: American Crime Story yang mengisahkan perbicaraan kes bunuh bintang bola sepak Amerika Syarikat pada 1995 memenangi sembilan anugerah.

Jeffrey Tambor (Transparent) mengulangi kejayaan tahun lepas apabila memenangi pelakon komedi lelaki terbaik. Beberapa nama pendatang baru turut mewarnai malam anugerah yang diadakan malam tadi.

Rami Malek yang menerima pencalonan pertama untuk Mr Robot memenangi anugerah pelakon drama lelaki terbaik sementara Tatiana Maslany (Orphan Black) membawa pulang gelaran pelakon utama wanita terbaik untuk drama bersiri BBC Amerika.

Mencipta kembali kejayaan sama pada tahun lalu, HBO mengungguli pentas dengan 22 kemenangan diikuti FX Networks 18.

Anugerah Emmy merupakan antara anugerah utama televisyen yang mengiktiraf pencapaian dalam berpuluh-puluh kategori untuk tempoh lebih 60 tahun.

Jimmy Kimmel, yang juga pengacara majlis turut memberikan pujian kerana selepas 68 tahun, televisyen masih berupaya memberikan kejutan kepada penonton.

Manakala Ketua Eksekutif Television Academy, Bruce Rosenblum menyatakan televisyen masih mendominasi landskap hiburan secara global.