Sejak terbuka hati memakai hijab, pelakon Nadiya Nisaa seterusnya berazam pula untuk mendalami ilmu agama Islam dengan lebih mendalam.

Usaha itu bagi Nadiya, tidak perlu terhenti sebaik menutup aurat sebaliknya dia bersungguh-sungguh mahu mengisi diri dengan pengetahuan agama agar memiliki pegangan yang lebih sempurna.

Katanya, dia begitu teruja untuk memahami terjemahan al-Quran.

“Saya merancang untuk menutup kepala sejak Ramadan lalu terutama selepas mengisi masa sepanjang bulan puasa pergi ke kelas agama dan ketika itu saya hamil anak kedua.

“Selepas Ramadan berlalu, saya meneruskan pembelajaran di surau berdekatan rumah dengan ilmu tafsir.

“Hati saya begitu tersentuh apabila dapat memahami pengertian surah al-Baqarah yang betul-betul membuka mata mengenai Islam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 31 Julai lalu, pemilik nama asal Nadiyatul Nisaa Kamarudin, 31, itu diberitakan mengalami peristiwa hitam apabila anak dikandung meninggal dunia di dalam rahim.

Aktres Love Supermoon itu dimaklumkan mengenai perkara berkenaan ketika melakukan pemeriksaan kesihatan di Putra Medical Centre, Kuala Lumpur.

Tiga bulan berlalu, Nadiya kembali aktif di persada seni tetapi bukan dengan tangan kosong sebaliknya membawa imej baru iaitu bertudung kepala.

Karier lakonan umpama satu perjalanan yang mungkin tiada noktah buat aktres yang pernah memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM27 menerusi filem Terbaik dari Langit itu.

Pada masa sama, dalam menggalas tanggungjawab sebagai pelakon, isteri kepada Saiful Razman dan ibu kepada Omar itu memasang harapan agar usahanya mendalami al-Quran tidak terbantut.

“Saya harap kelas itu dapat diteruskan walaupun sudah mulai sibuk dengan penggambaran telemovie Kari Sanjana yang bermula sejak 24 September lalu.

“Saya akan sedaya upaya mengimbangi antara tugasan dan jadual untuk keluarga dan kerjaya,” katanya.

Menceritakan pengalaman berhijab, Nadiya berkata ia bukanlah perkara asing buatnya yang sebelum ini pernah beberapa kali melakonkan watak wanita bertudung menerusi Adam dan Hawa dan Aku Bukan Bimbo.

Penghijrahan itu katanya bukan saja mendapat reaksi positif suami dan keluarga, malahan peminat turut memberi sokongan.

“Ini semua berkat doa peminat, mereka sering memberi komen dan nasihat di media sosial sebelum ini agar saya memakai tudung kepala dan saya mengambilnya sebagai perkara positif," katanya.