Anggota Brothers meninggal dunia
Anggota kumpulan nasyid Brothers, Mohd Salleh Mohamed Deril, 40, dilapor meninggal dunia petang tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Menerusi cacatan di Facebook Syria Care Malaysia, Salleh menghembuskan nafas terakhir akibat sakit jantung dan darah tinggi selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu.
"Mohd Salleh sejak Ahad lalu dimasukkan ke Hospital Klang sebelum dipindahkan ke PPUM. Salleh dimasukkan ke ICU di PPUM kerana penyakit jantung dan darah tinggi.
"Beliau bersama kumpulan Brothers pernah menjayakan Showcase Eyes to Heart yang dianjurkan Syria Care di Putrajaya pada November 2015.
"Malah beliau juga telah hadir di majlis apresiasi media yang dianjurkan Syria Care di Talent Lounge pada hari Rabu 28 September 2016 lalu," jelas pentadbir Facebook berkenaan sambil meminta peminat mendoakan roh Allahyarham.
Sementara itu media melaporkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas solat Isyak di kampung halamannya di Kampung Seri Tiram Jeram, Kuala Selangor.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata.

