Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Elizabeth Tan tak lihat dirinya rujukan untuk artis Cina
Diterbitkan:  Oct 28, 2016 5:43 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Pelantun lagu Setia, Elizabeth Tan tidak melihat dirinya sebagai rujukan terbaik bagi artis berbangsa Cina yang ingin mencipta nama dalam pasaran industri hiburan Melayu di negara ini.

Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy, 23, berkata, dia sendiri masih dalam proses belajar dalam memantapkan kemahiran bahasa Malaysia selain cuba memperluaskan lagi pengaruhnya sebagai penyanyi.

"Ada banyak lagi yang lebih berjaya berbanding diri saya jika ingin jadikan saya sebagai inspirasi contohnya Soo Wincci dan Jaclyn Victor.

"Saya sendiri masih baru dan perlu lebih banyak belajar tambahan pula penguasaan bahasa Malaysia saya pun masih sederhana.

"Tetapi mungkin ada menjadikan saya sebagai inspirasi kerana melihat perjalanan karier saya cepat apabila terlebih dahulu dikenali menerusi YouTube," katanya kepada mStar Online ketika sidang media program kartun Elena of Avalor di Publika Kuala Lumpur, semalam.

Lizzy diminta mengulas kenyataan pelakon Suri Hati Mr Pilot, Alvin Chong yang menjadikannya sebagai inspirasi untuk cuba mengembangkan karier nyanyiannya dalam bahasa Malaysia.

Dalam pada itu Lizzy dipilih menyanyikan lagu tema kartun berkenaan berjudul My Time dalam versi Bahasa Malaysia.

Elena of Avalor bakal menemui penonton bermula 13 November ini pada setiap hari Ahad, pukul 11 pagi di saluran Disney (Astro 615).

Lizzy berkata, sebagai penyanyi bukan Melayu dia menyokong penuh sekiranya ada bangsa lain yang ingin membina karier dalam pasaran Melayu.

Kata Lizzy, tidak salah sekiranya mencuba selain sentiasa mengambil pandangan dan kritikan peminat sebagai semangat untuk memperbaiki diri.

"Dengan teknologi hari ini pelbagai platform yang ada untuk sesiapa sahaja menyerlahkan bakat mereka.

"Pada saya, YouTube antara medium berkesan untuk menunjukkan bakat kita tetapi haruslah bersedia dengan kritikan.

"Anggap kritikan itu sebagai satu proses pembelajaran dalam menjadikan diri kita lebih baik dan selebihnya anda kena percaya dengan kebolehan diri," ujarnya.

Lihat Komen
ADS