Lagu Pen Pineapple Apple Pen tembusi carta AS
Lagu yang menjadi viral di media sosial Pen Pineapple Apple Pen (PPAP) diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai lagu terpendek berjaya tersenarai dalam carta Billboard Hot 100 Amerika Syarikat.
Menurut portal rasmi Guinness World Records, lagu berunsur komedi selama 45 saat itu ditonton lebih 67 juta kali sejak pertama kali dimuat naik di YouTube pada Ogos lalu.
Pembabitan penyanyi Justin Bieber secara tidak langsung pula didapati meningkatkan lagi jumlah penonton lagu berkenaan apabila dia menggelarkan klip video PPAP itu sebagai “paling digemari” di Internet.
Status itu pula dimuat naik oleh Bieber menerusi akaun Twitternya.
Kos peruntukan untuk membuat video yang ringkas itu hanya menelan belanja setakat 100,000 yen (RM3,999) untuk dihasilkan.
Video itu pula menampilkan Pikotaro memakai kostum bercorak haiwan sambil menari dan menyanyikan lirik tidak masuk akal seperti: “Saya mempunyai pen. Saya mempunyai sebiji epal. Apple Pen.”
Piko, 53, memberitahu media antarabangsa, pengiktirafan itu membuatkan perasaannya begitu teruja.
“Saya begitu terkejut dengan populariti yang mendadak ini. Tanpa impak Justin, saya berasa hanya empat orang yang akan berada dalam bilik ini,” kata pelawak itu.
Lagu PPAP menembusi carta AS pada kedudukan ke-77 minggu ini, pencapaian itu adalah yang pertama kali seumpamanya buat penyanyi Jepun yang berjaya memasuki Billboard Hot 100 dalam tempoh 26 tahun.
“Saya hanya mahu menerbitkan banyak lagi jumlah lagu komedi,” katanya.

