Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Bagaimanakah agaknya keadaannya seorang mak cik tua menari tarian Bollywood di atas pentas?

Pasti perkara pertama menjengah bayangan adalah aksi lucu yang bakal membuat penonton pecah perut melihat gelagat mak cik tua tadi.

Itu yang dapat dijangka daripada watak Mak Cun dilakonkan Erma Fatima dalam pementasan teater Mak Cun D’walei.

Begitu juga halnya dengan ramai lagi pelakon lain.

Perkara itu juga bukan mudah kerana menyukarkan lagi keadaan adalah hakikat bahawa mereka memang tidak pandai menari.

“Itu cabaran besar buat kami - pelakon - yang seolah-olah batang kayu dan besi tetapi semuanya kena menari dalam usia begini,” katanya.

Erma ditemui semasa sesi latihan teater Mak Cun D’walei di Istana Budaya baru-baru ini.

Teater Mak Cun D’walei yang mempertaruhkan tema Bollywood akan dipentaskan bermula 4 November nanti menampilkan pelakon sedia ada dari naskhah pertama seperti Umie Aida, Datuk Rahim Razali dan Balkisyh Semundur Khan.

Lapan lagu malar segar

Gandingan itu dimantapkan lagi dengan kemunculan baru seperti Amy Search, Abam Bocey dan Fathia Latiff.

Bukan mudah, kata Erma, untuk memenuhi ruang pentas sepanjang pementasan itu dengan bersahaja kerana ia memerlukan stamina mencukupi.

Untuk itu demi memastikan persembahan berkenaan berlangsung dengan berkesan dia sanggup mengetepikan nasi dalam pemakanan harian selain mengayuh basikal hingga pukul tiga pagi setiap hari.

"Ada masanya nanti saya perlu terkejar-kejar untuk mencuri masa menukar pakaian dan kembali semula di atas pentas, jadi stamina perlu benar-benar kuat,” katanya.

Demi melariskan produk buatannya sendiri, kali ini, Mak Cun sanggup menjelajah ke India untuk mendapatkan resipi kari terbaik.

Kata Erma, dengan 70 peratus latar belakang seperti di India, dia berharap penonton dapat membayangkan mereka seolah-olah berada di tempat itu semasa menyaksikan Mak Cun D’walei nanti.

Mak Cun D’walei menampilkan sekurang-kurang lapan lagu malar segar Bollywood termasuk enam lagu dipersembahkan dalam bahasa Melayu.

Menurutnya, sekiranya ingin menampilkan naskhah dengan tema Bollywood tanpa sebarang cacat cela seorang penggiat teater sepertinya perlu melakukan perancangan sebaik mungkin.

“Hindustan memang hebat pada tarian. Justeru kalau saya sengaja gatal nak buat tetapi tidak boleh menari, jangan cari nahas nanti memalukan diri sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS