Kisah kehidupan ibu Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, mengungguli Festival Filem Indonesia (FFI) 2016 yang diadakan di Jakarta malam tadi.
Diarah oleh sutradara Riri Riza filem berjudul Athirah itu memenangi enam anugerah termasuk bagi kategori filem terbaik.
Seperti Ada Apa Dengan Cinta, Riri berpasangan dengan Mira Lesmana sebagai penerbit Athirah.
Riri - yang turut menurunkan sentuhannya untuk filem Laskar Pelangi - pula memenangi anugerah pengarah terbaik.
FFI adalah festival filem paling berprestij untuk industri perfileman Indonesia.
Satu lagi trofi dimenangi filem itu ialah melalui Cut Mini (kategori pelakon wanita terbaik) yang membawa watak Athirah, tataan seni terbaik, busana terbaik dan lakon layar adaptasi terbaik.
Lakon layar filem itu ditulis hasil buku karya Alberthiene Endah yang menggunakan judul sama.
Athirah berkisar mengenai cerita seorang perempuan sederhana dari Makassar yang berjuang menjaga keutuhan keluarga selepas suaminya bernikah sekali lagi.
Tempo melaporkan walaupun Athirah itu adalah ibu Jusuf, filem berkenaan tidak menonjolkan watak ahli politik berkenaan sama sekali, sebaliknya budaya masyarakat Bugis pada era 1960-an yang lebih diperincikan.
Filem Athirah mengalahkan empat calon lain bagi kategori filem terbaik, iaitu Aisyah: Biarkan Kami Bersaudara, Rudy Habibie, Salawaku, dan Surat Dari Praha.
Sementara itu Mira berkata, dia menghadiri majlis berkenaan yang diadakan di Pusat Kesenian Taman Ismail Marzuki, Jakarta untuk kali pertama selepas 12 tahun.
Katanya dia berasa seronok kerana industri perfileman Indonesia tahun ini berkembang dengan ketara dengan banyak filem mendapat tontonan lebih sejuta orang.
Secara keseluruhan Athirah dicalonkan untuk 10 kategori.
Anugerah penghargaan sepanjang hayat pula diberikan kepada pelakon veteran Christine Hakim.
