Jika tiada gendala Luna Maya akan memiliki suami selepas hubungan cintanya dengan Ariel Peterpan terkandas dalam tragedi beberapa tahun lalu.

Kali ini lelaki yang memiliki hati Luna Maya, 33, ialah Reino Barack.

Menjelang detik diidamkannya itu Luna Maya sudah memikirkan konsep majlis bahagia berkenaan.

Jika benar-benar bernikah nanti katanya dia mahu ia berlangsung di luar negara. Di negara mana?

"Entah," kata Luna Maya pasrah. Dia ditemui media di Jakarta Selatan hari ini.

Dipetik portal Tribunnews Luna Maya juga tidak pasti tarikh sebenar dia bebas daripada status bujang. Namun katanya, dalam setiap perhubungan seseorang wanita pasti mengimpikan ia berakhir dengan perkahwinan.

"Saya bukan tuhan yang tahu apa akan berlaku esok. Saya cuma mampu meramal, merancang tetapi yang berlaku tertakluk kepada takdir.

"Saya 'mengalir' saja, kan," katanya, merujuk kepada sikapnya yang berserah kepada takdir.

Nama Luna Maya memang bukan asing kepada peminat dunia hiburan Indonesia dan Malaysia.

Dikenali sebagai pelakon, model dan hos televisyen nama Luna Maya sempat memanas pada awal Jun 2010 apabila aksi ranjangnya dengan Ariel tersebar.

Ariel kemudian dipenjara atas kesalahan memiliki bahan lucah. Selepas dibebaskan dari penjara Ariel menubuhkan kumpulan baru, Noah.

Luna Maya menjalin hubungan romantik dengan Reino lebih tiga tahun lalu dan kedua-duanya dilaporkan bersetuju memuktamadkan percintaan itu di atas pelamin.

Tidak seperti Luna Maya, Reino, 32, bukan watak yang sering muncul di depan kamera kerana dunianya lebih kepada suasana sebalik tabir.

Dia ialah tenaga utama bertanggungjawab membidani siri tokusatsu (filem atau drama fantasi menggunakan kesan visual khas seperti produksi Jepun) pertama Indonesia, BIMA Satria Garuda.

Kata Luna Maya buat masa ini dia tidak pasti bilakan lamaran akan dibuat Reino.

"Saya cuba berusaha agar ia menjadi kenyataan. Merancang terlalu jauh itu, saya cuba realistik saja," katanya.