Legenda muzik berasal dari Kanada, Leonard Cohen yang terkenal dengan lagu seperti 'Hallelujah' dan' Bird On Wire' meninggal dunia pada usia 82 tahun.

"Dengan kesedihan mendalam kami mengkhabarkan bahawa penyair legenda, penulis lagu dan artis, Leonard Cohen meninggal dunia," jelas kenyataan Sony Music Kanada yang disiarkan di laman Facebook rasmi Cohen.

Cohen, berasal dari Quebec, seorang penyair dan penulis novel menjadi terkenal apabila berpindah ke New York pada tahun 1966 bagi menceburkan diri dalam industri muzik.

Hasil karyanya dalam penulisan lirik dan lagu pernah dibandingkan dengan seorang lagi lagenda, Bob Dylan.

Sepanjang karier selama lima dekad, Cohen banyak menulis lagu bertemakan agama, cinta, politik dan perang. Dia menghasilkan lebih 2,000 lagu sepanjang hidupnya.

Ramai artis turut pernah menyanyikan lagu-lagu ciptaannya seperti U2, Elton John, Sting, Trisha Yearwood dan Aretha Franklin.

Tidak sekadar muzik yang indah, Cohen dikenali dengan lirik-lirik puitis dalam setiap lagu yang diciptakannya.

Salah satu lagu terbaik yang pernah dibawakan Leonard Cohen adalah 'Hallelujah' dalam album Various Positions.

'Hallelujah' menjadi hit apabila direkodkan semula oleh pemuzik Jeff Buckley pada 1994.

Pada usia 80-an, Cohan terus mengecapi populariti dan dillapor baru sahaja melancarkan album baru bulan lalu.

Upacara memperingati mendiang akan diadakan di Los Angeles pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.