Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Jika ditakdirkan ada rezeki boleh melepas rindu kepada arwah bapanya, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Tarudin berharap mereka dapat dipertemukan di tempat "paling indah.”

Katanya, walaupun allahyarham Tarudin Ismail sudah tiada sejak tujuh tahun lalu, hingga kini dia masih membayangkan kehadiran bapanya itu dari semasa ke semasa.

Dan perasaan rindu itu, kata Siti Nurhaliza, tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Saya merindui arwah bapa dalam keadaan yang tak dapat dijelaskan," katanya.

Siti Nurhaliza juga menyatakan dia sentiasa berdoa supaya arwah bapanya berada di tempat yang sejahtera "bersama kalangan orang beriman".

Beliau ditemui pada majlis sambutan ulang tahun pertama strim muzik Yonder di Hotel The St Regis di Kuala Lumpur semalam.

Tarudin, 67, meninggal dunia pada 15 Februari 2009 di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang akibat serangan jantung.

Pesara polis itu turut mengalami komplikasi buah pinggang dan kencing manis dan dimasukkan ke hospital dua hari sebelum itu apabila rebah di kediamannya di Kuala Lipis kira-kira jam 5 pagi.

Arwah kemudian menjalani pembedahan pintasan koronari pada hari yang sama.

Kata Siti Nurhaliza sejak detik bapanya meninggal dunia, rindu itu tidak pernah padam.

Dan untuk sekali penyanyi Aku Cinta Padamu itu bersyukur kerana berpeluang mengubat rindu kepada bapanya meski hanya dalam mimpi.

“Ada sekali arwah datang dalam mimpi dan saya bersyukur sangat sebab dapat peluang itu," katanya.

Ingin mengulangi detik itu Siti Nurhaliza kemudian kerap memanjatkan doa untuk diberi peluang lagi 'bertemu' bapanya.

Sementara itu Siti Nurhaliza mengubat sedikit kerinduan berkenaan dengan cara tersendiri - menghasilkan klip video untuk lagunya, Menatap Dalam Mimpi.

“Saya gambarkan perasaan rindu melalui klip berkenaan. Sedikit sebanyak itulah yang saya dambakan dan cuba ketengahkan,” katanya.

Mengulas mengenai Yonder Music, Siti Nurhaliza berterima kasih kerana diberikan landasan untuk melebarkan sayapnya dalam bidang nyanyian.

“Terima kasih Yonder Music kerana dengan platform diberikan hingga ke hari ini, saya dapat peluang meluas, antaranya menjayakan konsert Siti Nurhaliza & Friends tahun lepas,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS