Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Kecewa dengan keadaan masih tidak berubah banyak pelakon Amerul Affendi kini memilih haluan lain yang lebih 'damai' di hatinya.

Dia kini sedang sibuk menyiapkan pembukaan sebuah madrasah untuk menggabungkan pengajian Islam dengan seni.

Setakat ini katanya madrasah di Temerloh, Pahang itu sudah 60 peratus siap.

Bercakap kepada Malaysiakini pelakon filem Bunohan itu berkata kegagalan mendapat tawaran berlakon daripada penerbit filem gara-gara kecenderungan mereka mementingkan rupa.

Namun Amerul enggan mensia-siakan hidupnya.

"Dengan cara itu, sedikit sebanyak saya dapat melupakan cabaran kurang mendapat tawaran berlakon," katanya.

Amerul - atau nama penuhnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi - berkata ada beberapa projek sedang diusahakannya sekarang.

Satu daripadanya ialah Madrasah Cinta di Zawiyah Darul Khalwatiiyyah as-Sufiyah.

“Madrasah itu dibina dengan bantuan sekurang-kurangnya 20 rakan lain dan tidak melibatkan kontraktor. Ia dibina di atas tanah milik ayah saya dan demi komuniti kampung," katanya.

Ilham dari Nam Ron

Menceritakan lebih lanjut Amerul berkata projek itu dimulakan dengan dana dikumpulnya sendiri sejak Februari tahun lepas.

Bakat Amerul, 30, memang diakui ramai seperti dibuktikan melalui filem lain - Polis Evo dan Pekak.

Kemampuannya juga diiktiraf apabila menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 menerusi filem Terbaik Dari Langit.

Namun kerana tidak 'mencukupi' kriteria diingini dalam pemilihan pelakon drama di televisyen, nama Amerul sering diketepikan.

Sementara tiada tawaran dia mengusahakan penternakan kerbau dan ikan patin dalam sangkar serta kebun kelapa.

Menurut Amerul dia membina madrasah cinta itu hasil ilham gurunya, Nam Ron, bagi membolehkan dia mengupas subjek kesenian dari sudut pandang Islam.

Dengan mengambil kira situasi ekonomi negara, Amerul bercadang tidak mengenakan sebarang bayaran untuk pelajaran yang akan disampaikan di madrasah itu.

“Pelajar hanya perlu membeli sendiri buku dan peralatan sekolah saja. Sekurang-kurangnya madrasah ini membuka ruang untuk anak-anak belajar seni," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS