'Nafsu besar' Mansor pada Malaysian Snow
Pengarah Mansor Puteh berkata, dia bercadang untuk memecah rekod dunia dengan melakukan penggambaran filemnya Malaysian Snow - yang pernah terbantut suatu ketika dulu - di 50 buah negara.
Mansor percaya, gimik penggambaran itu belum pernah dilakukan oleh mana-mana pembikin filem sebelum ini.
“Saya merancang untuk pergi ke 50 buah negara di benua Eropah, Amerika Selatan dan Asia.
“Ia akan dijadikan babak yang dicantum-cantumkan hinggalah merangkumi 50 buah negara kesemuanya,” katanya kepada Malaysiakini.
Malaysian Snow pernah menghadapi kegagalan apabila pinjaman untuk pembiayaan penggambaran filem itu pada 2004 dibatalkan walaupun ia sudah diluluskan sebuah bank.
Akibat berhadapan kekangan itu, sutradara filem Seman berkenaan terpaksa memendam perasaan lebih dari 10 tahun sebelum dapat memulakan penggambaran Malaysian Snow.
Walaupun sudah menerima geran pembangunan kajian untuk skrip daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mansor masih perlu mencari peruntukan lebih untuk meneruskan filem berkenaan.
Selain modal yang perlu dirisaukan, lain pula halnya pada bab pembikinan.
Mansor yang juga dikenali sebagai pengritik filem itu dilihat mempunyai ‘resipi’ tersendiri untuk melaksanakan impiannya.
Walaupun ia nampak seperti mustahil, Mansor sebenarnya sudah bersiap siaga dengan formula tersendiri - yang masih belum boleh dikongsikannya kepada umum .
“Cara macam mana dan lokasi spesifik saya akan buat penggambaran nanti masih belum boleh diberitahu. Orang ramai akan mengetahui apabila mereka menonton Malaysian Snow selepas ia disiapkan.
“Saya cuma boleh kongsikan dua lokasi saja, iaitu dua universiti - Cambridge dan Nottingham - kerana mereka menunjukkan minat dan sokongan kepada saya,” katanya.
Kalau dengki tak ke mana
Mansor berkata, untuk menjimatkan kos penggambaran Malaysian Snow, penggambaran akan dijalankan di 20 negara di Eropah dan kemudian ke China dengan jumlah kru serta pelakon minimum.
Dengan kemudahan semasa, kata Mansor, ia boleh dilakukan tanpa perlu perjalanan berulang-alik.
Malaysian Snow mengisahkan dua pelajar Malaysia yang berasal dari Kampung Serkam yang membesar bersama hingga belajar di sebuah universiti di United Kingdom.
Bagaimanapun, pada penghujung cerita kedua-dua pelajar berkenaan membawa haluan hidup masing-masing kerana berbeza pendapat.
Menurut Mansor, kisah cuba dipaparkan boleh menggalakkan perpaduan selain meningkatkan daya fikir penonton.
“Filem ini memaparkan sifat dengki yang tidak boleh membawa masyarakat Melayu ke mana-mana.
"Sekiranya asyik bergaduh apabila sudah pandai, itu bermakna ada sesuatu yang tak kena pada ilmu diperoleh mereka,” katanya.
Malaysian Snow diilhamkan oleh Mansor seawal 1980-an apabila dia menulis novel Kampung Serkam USA.
Mengambil idea dari situ, Mansor ingin menjadikan Malaysian Snow sebagai tesis ketika dia sedang menuntut ijazah sarjana perfileman di Universiti Columbia di New York, AS.
Malangnya, impiannya itu tidak kesampaian walaupun pihak universiti sudah menerima cadangan tesis berkenaan, kerana masalah dana.
“Saya tulis sendiri novel berkenaan dan akan menerbitkannya apabila filem berkenaan siap.
“Saya yakin filem Malaysian Snow yang dipadankan daripada novel ini boleh diterima oleh ramai di Malaysia dan di Columbia selain diharap boleh mengharumkan nama negara dalam bidang perfileman.
“Kalau filem ini dapat dijadikan tesis, ia dapat mencipta sejarah Melayu.
"Kalau universiti kata bagus, takkan orang lain kata tidak. Kalau ia berlaku tentu ada masalah di kalangan penggiat industri atau kerajaan,” katanya.

