Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bekas pengurus Alanis mengaku curi AS$7 juta
Diterbitkan:  Jan 19, 2017 6:17 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Bekas pengurus kepada penyanyi Alanis Morissette mengaku mencuri lebih AS$7 juta (RM31.2 juta) daripada artis berkenaan dan beberapa selebriti lain, kata pendakwaraya.

Jonathan Schwartz didakwa atas kesalahan menipu kerana memindahkan wang Alanis, 42, ke dalam akaun miliknya.

Apabila diminta menjelaskan kehilangan wang terbabit, Schwartz sebaliknya menipu malah mengatakan ia telah dilaburkan untuk mengembangkan perniagaan haram menjual ganja.

Schwartz adalah individu yang bertanggungjawab menguruskan kewangan Alanis antara 2009 hingga 2016.

Tugas Schwartz mencakupi kutipan persembahan, mengurus akaun dan membayar bil di bawah nama Alanis.

Di mahkamah Los Angeles semalam, Schwartz mengaku mencuri AS$4.8 juta (RM21.4 juta) dari Alanis dan lebih AS$2 juta (RM9 juta) dari pelanggannya yang lain yang terdiri daripada kalangan selebriti.

Memetik laporan BBC, peguamnya Nathan Hochman berkata, Schwartz memberi kerjasama sepenuhnya untuk siasatan berkenaan selain mengaku bersalah.

Schwartz kini berdepan hukuman penjara antara empat hingga enam tahun jika disabitkan atas tuduhan melakukan jenayah.

Tahun lalu, penyanyi yang namanya melonjak popular pada era 1990an itu menyaman Schwartz dan syarikatnya GSO berikutan kerugian bernilai AS$15 juta (RM66.8 juta) atas dakwaan wang itu dipindahkan ke akaun lelaki berkenaan tanpa kebenaran.

Susulan daripada siasatan dijalankan, GSO menyiarkan kenyataan menyatakan “amat terkejut” apabila mengetahui Schwartz menggunakan wang berkenaan untuk menjalani gaya hidup mewah.

Bagaimanapun, penyanyi Ironic itu kemudian menggugurkan tuntutan saman selepas berjaya mencapai penyelesaian.

Penyanyi berasal dari Kanada itu mula menyedari kes penipuan itu berlaku selepas dia mengupah pengurus baru yang kemudian menyedari terdapat kelompongan dalam jumlah akaunnya.

Schwartz dijangka hadir perbicaraan atas tuduhan jenayah pada 1 Februari depan.

Lihat Komen
ADS