Aliff Syukri mohon maaf dengan linangan air mata
Jutawan kosmetik Datuk Aliff Syukri Kamarzaman membuat permohonan maaf secara terbuka selepas program Oh Abang Kosmetik (AOK) yang didakwa mengaibkan penjual kopiah mendapat kecaman pengguna Internet.
Menerusi Facebook rasminya, Aliff memberikan penjelasan yang diharapkan memuaskan hati semua pihak, termasuk menerusi sebuah video.
“Assalamualaikum. Saya mengambil kesempatan ini, untuk membuat permohonan maaf secara terbuka atas apa yang telah terjadi.
“Terutama sekali kepada saudara penjual kopiah yang tersinggung dengan kenyataan saya dalam rancangan tersebut,” tulisnya.
Kata Aliff, setiap teguran dianggap sebagai perkara yang mampu membina malah terdapat pengajaran di sebaliknya yang harus diambil iktibar.
Dalam rakaman video itu juga, Aliff dilihat berliangan air mata ketika memohon kemaafan itu.
Malaysiakini semalam menyiarkan kenyataan daripada beberapa pengguna media sosial berhubung perkara itu yang menggesa Aliff meminta maaf atas kesilapan dengan hati terbuka.
Insiden berkenaan berlaku semasa penggambaran episod ketiga OAK membabitkan seorang peniaga kopiah bernama Shamsani di sebuah pasar tani bertempat di Shah Alam.
Ketika itu, Shamsani tidak sedar tindakannya terhadap Aliff yang menyamar seperti pengemis tua dirakam secara tersembunyi.
Aliff kelihatan bersungguh-sungguh cuba mendapatkan kopiah di kedai itu walaupun dihalang oleh Shamsani.
Di sebalik kisah itu, Shamsani tampil mengeluarkan kenyataan membela nasibnya dengan berkatapertama kali diaibkan sedemikian sepanjang 10 tahun berniaga.
Pada masa sama, Aliff berharap agar semua peminat masih lagi memberikan sokongan buat kerjayanya dan program berkenan yang disiarkan oleh Astro bermula 1 Januari lalu.
Aliff turut memohon maaf atas kelewatan memberikan respon terhadap perkara terbabit kerana seharian sibuk menjalani penggambaran filem Badang.
Peniaga syukur 'maruah dibersihkan'
Sementara itu, Shamsani juga menerusi Facebook menerima permohonan maaf Aliff itu.
Katanya, menerusi permohonan maaf itu, maruahnya sebagai penjual barangan Islamik yang dipandang serong pulih.
“Alhamdulillah, setinggi tinggi syukur saya panjatkan ke hadrat Allah SWT di atas penyelesaian yang telah diberikan oleh-Nya.
“Tidak kira bagaimana dan apa cara sekalipun permohonan maaf tersebut dibuat, saya menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Saya bersyukur nama dan maruah saya telah dibersihkan. Saya selaku individu dan pemilik gerai kopiah tersebut tidak mempunyai sebarang niat untuk menjatuhkan mana mana pihak dengan penyiaran kenyataan balas tersebut di media sosial.
“Kenyataan balas tersebut saya siarkan semata-mata untuk menceritakan keadaan sebenar sepanjang rakaman tersebut dijalankan dan untuk membersihkan nama saya. Sehubungan dengan permohonan maaf yang telah di buat oleh pihak Datuk, saya beranggapan perkara ini telah pun selesai,” katanya.

