Apakah agaknya rahsia vokalis kumpulan Khalifah untuk memujuk kedua ibu bapanya agar sama-sama menjayakan pesembahannya di Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) pada 22 Januari lalu?
"Mudah saja, jawapannya ada pada diri sendiri," kata vokalis Khalifah, Yabang, yang ditemui selepas berlangsungnya acara kemuncak AJL31 di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini.
“Senang sangat, caranya adalah dengan menjadi anak yang soleh.
"Insya-Allah kalau kita sentiasa patuh pada cakap orang tua, mereka tiada masalah membantu anak-anak,” katanya.
Ketika beraksi pada malam berkenaan, Khalifah tampil membawa lagu Hang Pi Mana dengan kelainan yang ketara.
Di atas pentas persembahan kumpulan itu turut diwarnai ibu bapa Yabang sebagai penyeri.
Hasilnya, Khalifah - pertama kali dicalonkan untuk AJL - meraih geralan persembahan terbaik pada malam itu.
Kemenangan itu menyaksikan kumpulan rock dianggotai oleh empat orang itu membawa pulang wang tunai RM12,000, trofi serta hadiah lain.
Menurut Yabang, tema menjadi pilihan Khalifah pada malam itu ialah kekeluargaan. Justeru, katanya, ia wajar dimeriahkan dengan suasana kampung.
Katanya, kemenangan itu juga membuktikan mesej kekeluargaan yang mahu disampaikan Khalifah dapat diterima ramai kerana pemilihan kategori itu berdasarkan undian atas talian yang dibuka kepada umum malam itu.
"Sebenarnya bukan ayah dan ibu saja yang saya bawa ke atas pentas. Terdapat beberapa ahli keluarga lain turut serta, misalnya sebagai anggota kumpulan dikir barat.
"Alhamdulillah penonton dapat terima mesej kami dan ini kami berjaya menunjukkan pentingnya hubungan kekeluargaan dijaga baik," katanya.
Hang Pi Mana adalah sentuhan anggota Khalifah sendiri, hasil kerjasama Harry sebagai pencipta lagu dan Yabang menulis lirik.
Ia berkisah mengenai perihal anak-anak zaman kini yang semakin menjauh daripada ibu bapa.
Melalui lagu itu Khalifah mahu menyatakan pentingnya anak-anak memaklumkan kepada ibu bapa ke mana mereka pergi supaya terhindar daripada sesuatu tidak diingini.
"Zaman sekarang ramai yang gemar mengikut entah siapa, keluar tapi tak balik-balik. Tidak baik begitu.
"Tolong bagitahu ibu dan ayah kamu pergi ke mana. Kalau jadi anak yang baik, ibu bapa juga senang hati," katanya.
