Penyanyi terkenal era 60an M Ishak dilaporkan berada dalam keadaan tenat akibat menghidap kanser paru-paru selepas dimasukkan ke hospital Tan Tock Seng, Singapura Isnin lalu.

Menurut kakaknya Sadiah, 73, penyakit dihidapi penyanyi yang terkenal dengan lagu Yale Yale dan Joget Si Hitam Manis itu disahkan doktor sudah merebak ke bahagian lain dalam tubuh.

Saadiah yang baru mendapat tahu penyakit adiknya itu berkata, M Ishak baru saja keluar daripada hospital yang sama, selepas 10 hari mendapatkan rawatan kerana kurang sihat.

"Namun, Isnin lalu keadaannya semakin tenat apabila sudah tidak boleh bangun dan tidak mahu makan apa-apa. Saya terpaksa menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital.

“Doktor akhirnya mengesahkan dia menghidap kanser paru-paru dan penyakit itu mula merebak ke bahagian leher, menyebabkannya hilang selera untuk makan,” katanya seperti dilapor Berita Harian Online.

Sadiah berkata, doktor menyatakan kemungkinan jangkitan mulai menyerang bahagian otak hingga menyebabkan M Ishak atau nama penuhnya Mohamed Ishak Shaik Mohamed, 71, kadang-kala menjadi pelupa.

Bagaimanapun, katanya, doktor belum mengesahkan tahap kanser yang menyerang penyanyi itu.

"Kami pun tidak tahu sejauh mana kanser yang menyerangnya. Saya dan anak-anaknya sudah sepakat, apa saja yang berlaku pada dirinya, kami tidak mahu dia menjalani sebarang pembedahan.

“Jika dia mampu bertahan dengan ubat, kami akan menjaganya sebaik mungkin. Melihat pada faktor usianya, saya rasa dia sendiri berkemungkinan tidak kuat untuk melawan sekiranya terpaksa melakukan pembedahan," katanya.

Bapa tunggal kepada empat anak dan 13 cucu itu pernah menerbitkan dua album iaitu The Young Lovers (1967) dan Joget Si Hitam Manis (1970).