Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Slank adakan konsert untuk Ahok-Djarot
Diterbitkan:  Feb 2, 2017 4:44 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Kumpulan rock terkenal Indonesia, Slank akan mengadakan sebuah konsert bagi menyatakan sokongan terhadap gandingan Basuki Tjahaja Purnama dan Djarot Saiful Hidayat pada pilihan raya Gabenor Jakarta tidak lama lagi.

Konsert yang merupakan sebahagian kempen bagi mendukung pasangan itu akan diadakan pada 4 Februari di Ex Driving Range Senayan, Jakarta Pusat, bermula pada pukul 1.00 tengah hari waktu tempatan.

Pemain dram Slank, Bimo Setiawan Almachzumi atau Bimbim (50), berkata, konsert itu akan menyatukan pemuzik bagi mendukung Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok untuk mempertahankan jawatan Gabenor Jakarta dan Djarot, selaku timbalannya.

"Banyak pemuzik yang bebas mahu mendukung Ahok, ya sudah bikin konsert tanggal 4 Februari. Ini acara untuk anak-anak Jakarta yang benar-benar ingin Ahok memimpin lagi," ujar Bimbin seperti dilapor Kompas.com

Katanya, idea mengadakan konsert yang digelar 'Konsert Gue2' itu dicetuskan oleh gitaris Slank, Mohamad Ridwan Hafiedz atau Ridho serta pengarah, Jay Subiakto.

Mereka menjadikan kejayaan konsert 'Salam Dua Jari' pada 5 Julai 2014 sebagai inspirasi untuk mengadakan konsert kali ini.

Konsert 'Salam Dua Jari' diadakan sebagai kempen untuk menyokong pasangan Joko Widodo dan Jusuf Kalla dalam pilihan raya presiden Indonesia yang lalu.

Bimbin berkata Slank dan beberapa pemuzik tempatan turut mencipta sebuah lagu khusus untuk gandingan Ahok-Djarot berjudul 'Gua 2'.

Tambahnya, mereka tidak dibayar untuk menyertai konsert berkenaan kerana ia dilakukan secara rela hati demi memenangkan pasangan itu.

"Sebenarnya banyak pemuzik yang mulai bergerak sendiri-sendiri. Jadi kami gabungkan, bagaimana kalau dibikin konsert tanggal 4 Februari (2017). Kebetulan mereka kosong tidak ada job, Slank juga salah satunya," katanya.

Antara artis yang dilapor ikut menyertai konsert berkenaan ialah Once, Krisdayanti, Gita Gutawa, Marcello dan ramai lagi.

Lihat Komen
ADS