Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Isu gambar, klip video: Reen Rahim buat laporan polis

Kerana kesal dengan pelbagai ugutan selain tidak tertahan menanggung fitnah yang disebarkan individu tertentu, pelakon Reen Rahim bertindak membuat laporan polis bagi membendung situasi tersebut.

Bagi Reen, keputusan membuat laporan polis itu adalah antara langkah yang dirasakan terbaik setelah individu terbabit mulai mengancam untuk mengaibkannya dengan perkara yang lebih memalukan.

Untuk mengelak kejadian tidak diingini daripada terjadi, atas nasihat pihak pengurusan, Reen membuat laporan di pejabat polis di Damansara, Petaling Jaya pada 6 Febuari lalu.

“Ada lapan perkara aib yang didedahkan oleh individu terbabit menerusi status yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, bagaimanapun, satu atau dua daripadanya bersifat kebudak-budakan.

“Namun, perkara ketujuh menimbulkan ancaman kerana dia mengugut untuk menyebarkan gambar dan klip video yang diperoleh daripada telefon bimbit milik saya.

“Walaupun tidak pasti isi kandungan yang dimaksudkan, tetapi jika ada yang tersebar mudahlah saya merujuk ia angkara si polan berkenaan,” katanya.

Reen atau nama asalnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 27, ditemui pada sidang pra-tonton Soulmate hingga Jannah di Damansara, Petaling Jaya semalam.

Sebelum ini Reen pernah dituduh oleh individu yang sama sebagai kaki pukul dan kepala angin hingga menyebabkan kelab peminatnya terpaksa dibubarkan.

Menurutnya, kekecewaannya dirasakan semakin menebal apabila individu terbabit menyalah gunakan kemesraan hubungan mereka yang diibaratkan seperti kakak dan adik sebagai senjata untuk mengkhianati dirinya.

Keakraban Reen bersama individu yang dikenali sejak lima tahun lalu bermula apabila wanita itu mula menawarkan diri untuk memegang jawatan penting dalam kelab peminatnya.

Biarpun pernah mendengar pelbagai kisah buruk membabitkan individu terbabit daripada beberapa rakan artis lain, Reen sebaliknya mengamalkan sikap tidak mudah melatah terhadap perkara itu.

Malah, Reen mengakui 'melakukan' kesilapan besar apabila memberi kepercayaan penuh kepada individu terbabit untuk mengakses akaun media sosial dan telefon bimbit miliknya.

“Silap saya terlalu cepat percaya seseorang apabila mereka terlalu baik hingga berikan semua kata laluan.

“Sejak itu, dia mula menunjukkan sikap melampau apabila turut mencampuri urusan peribadi membabitkan lelaki yang cuba mengenali hati budi saya dan memburuk-burukkannya kepada keluarga.

Kata anak ketiga daripada empat beradik itu, sememangnya isu yang timbul mendatangkan masalah buatnya malah dikhuatiri boleh menjejaskan mata pencariannya sebagai anak seni.

Sebolehnya, Reen tidak mahu memanjangkan lagi perbalahan yang telah tercetus, sebaliknya menegaskan agar hal yang timbul perlu diselesaikan dengan cara sewajarnya.

“Disebabkan isu itu, orang mula pertikaikan cara kerja saya, lama-lama ia boleh mematikan karier yang dibina selama empat tahun.

"Isu ini benar-benar buat fikiran saya semak sedangkan banyak lagi perkara boleh difokus termasuk jaga hati keluarga yang asalnya bukan dari bidang industri, mereka tidak faham.

“Saya cari rezeki untuk keluarga dan percaya doa mereka walau terdapat cubaan untuk menjatuhkan tetapi jika ingin selesaikan hal ini secara profesional individu terbabit perlu datang dan berjumpa saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS