Larang beg plastik atau jual beg plastik?
Keputusan kerajaan Selangor menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik dan polistirena (polystyrene) sebenarnya mencetuskan was-was, kata penyanyi Datuk Zainal Abidin.
Selebriti yang terkenal dengan keprihatinannya terhadap alam sekitar itu berkata, beliau berasa ragu-ragu sama ada langkah berkenaan memang bertujuan untuk mendidik atau meraih keuntungan.
Berbanding larangan menyeluruh, kata Zainal, adalah lebih baik jika kerajaan Selangor memupuk kesedaran mengenai kesan penggunaan kedua-dua bahan itu kepada alam sekitar sedikit demi sedikit.
“Nak kurangkan beg plastik atau nak jual? Itu yang jadi pertanyaan," katanya kepada Malaysiakini.
Mulai 1 Januari lalu Selangor melarang penggunaan beg plastik atau polistirena pada setiap masa selepas melaksanakan larangan terhad sejak 2010.
Bagaimanapun, beg plastik masih boleh diperolehi pengguna jika mereka sanggup membayar 20 sen bagi setiap satu.
Ia mencetuskan rungutan banyak pihak walaupun langkah itu dibuat dengan alasan untuk kesejahteraan alam sekitar. Sesetengah pihak berpendapat larangan itu sepatutnya diikuti dengan penggunaan beg kertas atau bahan mudah lupus.
Kata Zainal, lebih wajar jika peniaga menjual beg diperbuat daripada bahan kitar semula supaya mereka benar-benar nampak mempunyai kesedaran tentang isu alam sekitar.
"Kalau beg plastik itu masih boleh dijual juga, tak ke mana usaha itu," katanya.
Pada masa sama, kata penyanyi Hijau itu, pengguna juga perlu dididik supaya sentiasa membawa beg sendiri ketika membeli-belah.

