Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pesawat dipandu Harrison Ford hampir terbabas
Diterbitkan:  Feb 15, 2017 8:48 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Pesawat peribadi yang dipandu aktor Harrison Ford dipercayai hampir terbabas di California. 

Ford juruterbang berpengalaman yang sering mengumpul pesawat vintaj diarahkan untuk mendarat di Lapangan Terbang John Wayne berhampiran daerah Orange, Amerika Syarikat (AS), namun membuat kesilapan apabila tersasar dan mendarat di laluan pesawat dan bukan di landasan kapal terbang. 

Pesawat dinaiki Ford itu juga melepasi pesawat American Airlines 737 yang ketika itu membawa seramai 110 penumpang dan enam orang krew.

Pesawat penumpang Penerbangan AA 1456 itu bagaimanapun berjaya berlepas dengan selamat ke Dallas beberapa minit selepas insiden itu berlaku.

Memetik laporan NBC News, Ford, 74, didengari sempat bertanyakan kepada pusat kawalan trafik udara: “Adakah pesawat penumpang itu berada di bawah saya?”

Pusat kawalan udara kemudian memaklumkan kepada Ford yang pesawat dipandunya mendarat di laluan pesawat dan bukannya di atas landasan - satu kesalahan di bawah peraturan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) di AS.

FAA memaklumkan kepada NBC News bahawa pengawal lalu lintas memberikan arahan khusus kepada Ford dan pelakon itu juga dikatakan mengulanginya semula.

Insiden itu mengakibatkan siasatan dilakukan ke atas Ford dan jika didapati bersalah, ia boleh menyebabkan surat amaran hingga penggantungan lesen juruterbang dikenakan. 

Ini bukan kemalangan Ford yang pertama, sebelum ini pelakon yang meningkat naik menerusi wataknya sebagai Han Solo dalam Star Wars itu pernah terbabit dalam siri kemalangan atau hampir kemalangan semasa memandu pesawat.

Pada 2015, pesawat era Perang Dunia Kedua dipandu Ford terhempas di atas padang golf di Santa Monica, California selepas mengalami kegagalan enjin.

Selain itu, helikopter dipandu Ford pernah terhempas pada 1999 semasa sesi pembelajaran penerbangan di Daerah Ventura, California.

Dan pada 2000, pesawat dengan enam tempat duduk Beechcraft Bonanza terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Perbandaran Lincoln di Nebraska.

Namun, kredibiliti Ford sebagai juruterbang tetap disegani dalam kalangan yang memandu pesawat.

Ford pernah dilantik oleh Akademi Udara Kiddie Hawk sebagai Legenda Penerbangan Masih Hidup.

Seorang saksi memberitahu, sewaktu insiden membabitkan Ford pada 2015 di Santa Monica, lelaki itu berjaya menyelamatkan beberapa nyawa apabila mengubah laluan pendaratan ke padang golf Penmar untuk mengelak ia daripada merentasi rumah pinggir bandar.

Lihat Komen
ADS