Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pengarah Sinematografi, Mohd Noor Kassim mendakwa Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) tidak telus dalam membenarkan syarikat produksi luar menjalankan penggambaran di negara ini.

Mohd Noor mengesyaki terdapat unsur penyelewengan membabitkan presiden Profima, Khir Mohd Noor apabila membenarkan syarikat produksi terbabit, Allover Kuwait menjalankan penggambaran tanpa memohon kelulusan dari Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

“Apabila dimaklumkan kepada presiden Profima (mengenai kelulusan), katanya perkara itu akan diselidik. Bagaimanapun saya lihat penggambaran masih diteruskan di Shah Alam dan beberapa lokasi lain.

"Mungkin dia (Khir) fikir masalah begini boleh diselesaikan dengan bayar sejumlah nilai wang dan selamatkan produksi dengan memastikan tanpa kelulusan masih boleh buat penggambaran," kata Mohd Noor kepada Malaysiakini.

Produksi itu dikatakan membawa masuk seramai 45 pekerja dari Kuwait dan memulakan penggambaran pada 3 hingga 13 Januari lalu.

Pada mulanya, Allover Kuwait mengambil Mohd Noor, yang sebelum ini menggemparkan industri hiburan apabila memulangkan trofi dimenanginya pada Anugerah FFM28, bekerja sebagai jurukamera di syarikat produksi itu.

Namun, khidmat Mohd Noor ditamatkan meskipun kontraknya belum berakhir.

Mohd Noor berkata, dia kemudian bersama seorang lagi jurukamera, Dahlan Ibrahim membuat siasatan sebelum mendapati Allover Kuwait tidak memiliki kelulusan Puspal.

Mereka kemudian membuat laporan kepada beberapa badan bertanggungjawab dan mendakwa perkara itu kini sedang disiasat.

'Burukkan imej industri'

Dalam pada itu, Dahlan tertanya-tanya apakah tujuan Khir membuat lawatan mengejut di salah satu lokasi penggambaran di Sabah.

Dahlan mendakwa ia tidak lain tidak bukan semata-mata untuk "menyelamatkan" produksi terbabit daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Malah, Dahlan juga mendakwa penginapan Khir di sebuah hotel mewah di Sabah dibiayai Allover Kuwait.

“Saya telah melaporkan kepada tiga badan tertentu pada 6 Januari, dan disebabkan laporan itulah Khir ke Sabah pada 7 hari bulan sebab nak selamatkan produksi.

“Jika dia ke Sabah atas urusan Profima mengapa langsung tidak jenguk krew tempatan?

“Dan kalau benar ke Sabah untuk berurusan dengan dua badan tertentu nyata mereka buat silap kerana datang pada hujung minggu (waktu tidak bekerja). Apabila produksi luar itu pulang pada 8 Januari, Khir turut pulang bersama-sama mereka,” katanya.

Katanya, sewaktu pulang dari Sabah, produksi berkenaan mahu menjalankan penggambaran di hangar KLIA, tetapi disekat kerana didapati tidak mempunyai kelulusan Puspal.

Syarikat penaja pun tak tahu?

Dahlan turut mendakwa seorang warganegara Iraq yang telah menetap selama 15 tahun di negara ini, menggunakan nama syarikat penaja tempatan berlesen bagi membawa masuk Allover Kuwait.

Katanya, syarikat itu mendakwa tidak mengenali lelaki berkenaan yang juga seorang pelakon dan bertindak selaku pengurus dalam hal berkaitan kemasukan produksi itu.

“Sepatutnya, syarikat penaja tempatan terbabit tahu mengenai kelulusan yang perlu disediakan dari awal sebelum membawa mana-mana produksi luar masuk ke negara ini.

“Warga Iraq itu bawa masuk tawaran dari Kuwait dan gunakan nama syarikat penaja tempatan, banyak jumlah duit di situ, takkan pakai nama saja,” katanya.

Terdahulu, Mohd Noor dan Dahlan yang menjadi ahli Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) masing-masing dilihat menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Khir di akaun Facebook badan kolektif itu secara terbuka.

Pada masa sama, Komfit menggesa sebuah debat diadakan bagi membincangkan isu yang selama ini didakwa gagal diselesaikan Profima seperti kebajikan pekerja, waktu penggambaran dan portal rasmi Profima yang sepatutnya diisi dengan portfolio ahli.

Bagaimanapun, Khir selaku presiden Profima ketika ditemui Malaysiakini, menafikan segala tuduhan Mohd Noor dan Dahlan, yang didakwanya dibuat tanpa usul periksa.

Lihat Komen
ADS