Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Persembahan eksklusif Siti Sarah di Menara KL April ini

Penyanyi terkenal dengan lagu 'Kesetiaan', Siti Sarah Raisuddin bakal mengadakan persembahan eksklusif di Menara Kuala Lumpur bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata persembahan eksklusif itu dijadualkan berlangsung pada 13 April di Megaview Banquet Hall, Menara Kuala Lumpur bersempena Sambutan Minggu Setiausaha.

Beliau berkata pemilihan untuk menampilkan Siti Sarah adalah kerana bakat luar biasa beliau yang setanding penyanyi luar negara dan sentiasa membuat para peminat terpesona dengan nyanyian yang bertenaga.

"Siti Sarah juga merupakan seorang daripada bintang kelahiran pertandingan nyanyian di Menara Kuala Lumpur pada tahun 2001, ketika itu beliau masih berusia 16 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Siti Sarah dalam satu kenyataan sama berkata persembahan minggu setiausaha di menara tertinggi di Asia Tenggara itu merupakan persembahanan kali kedua beliau dan menjanjikan kelainan dalam persembahannya kali ini.

Difahamkan beliau bakal mempersembahkan kira-kira enam lagu popularnya dan berganding bahu bersama kumpulan pelawak terkenal Sepahtu. Orang ramai dijemput untuk menyaksikan persembahan ini dan tempat adalah terhad kepada 256 orang sahaja. Harga tiket bagi satu meja adalah antara RM3,100 hingga RM7,600, bergantung kepada pakej.

Tiket juga turut dijual secara individu menerusi talian 03-20205444 atau
laman sesawang www.menarakl.com.my. -Bernama

Lihat Komen
ADS