Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shila Amzah gagal saman akhbar
Diterbitkan:  Mar 31, 2017 10:06 PM
Dikemaskini: Apr 1, 2017 10:20 AM

Penyanyi Shila Amzah dan syarikatnya diarah membayar RM20,000 kepada dua defendan selepas kalah dalam tuntutan saman fitnah berhubung dakwaan konsertnya ditaja sebuah syarikat perjudian.

Keputusan oleh hakim, Datuk Rosnaini Saub, itu dibaca Timbalan Pendaftar Erry Shahriman Noor Aripin.

Menurut Rosnaini, walaupun satu daripada artikel dipertikaikan Shila itu terdapat unsur fitnah, pengarang Kosmo!, wartawannya Maliah Surip dan penerbit akhbar itu, Utusan Melayu (M) Berhad selaku defendan berjaya dalam pembelaan mereka.

BH Online melaporkan, mahkamah menerima pembelaan ketiga-tiga defendan bahawa artikel berkenaan adalah komen berpatutan dan perlindungan bersyarat.

Menurut Rosnaini, Shila - atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah - sebagai individu dikenali ramai perlu bersedia menerima kritikan terutama membabitkan kepentingan awam.

Shila dan syarikatnya Shila Amzah Entertainment Berhad memfailkan saman berkenaan pada 16 Januari 2015.

Dalam pernyataan tuntutannya, Shila mendakwa Maliah menulis beberapa artikel - yang diterbitkan di akhbar Kosmo! - antara lain mengaitkan konsert Shila Amzah-Love Live in Malaysia di Mega Star Arena di Kuala Lumpur pada 13 September 2014 ditaja syarikat judi terbesar di negara ini. Shila juga dikatakan memperlekeh media Melayu.

Shila mendakwa, artikel berkenaan ditulis berikutan status dimuat naik pada laman web Instagram menerusi akaun Shilaamzah _photography pada 15 September tahun sama.

Secara am, artikel itu memuji pihak media berbahasa Cina kerana membuat liputan meluas konsert berkenaan.

Semua defendan diwakili peguam Elia Zuraini Mat Zin manakala Shila dan syarikatnya diwakili peguam K Mahendran.

Lihat Komen
ADS