Persatuan Animasi Malaysia (Animas) menuntut akhbar Nanyang Siang Pau agar lebih bertanggungjawab dalam penyiaran kartun terutama melibatkan sensitiviti agama dan kaum.

Presiden Animas Ameir Hamzah Hashim berkata, meskipun akhbar berkenaan sudah membuat permohonan maaf atas penyiaran karikatur kontroversi baru-baru ini, namun adalah tidak wajar sekiranya hanya kartunis terbabit disalahkan.

"Penjelasan dan kebertanggungjawaban tetap dituntut daripada pihak akhbar berkenaan dan jangan hanya menyalahkan kartunis terbabit.

"Sudah pasti penyiaran karya berkenaan adalah atas kelulusan ketua pengarang akhbar berkenaan," katanya pada kenyataan.

Ameir berkata, sesuatu karya dihasilkan kartunis adalah manifestasi dan ekspresi terhadap isu yang timbul sama ada di dalam mahupun luar negara.

"Justeru, sifat menghukum karyawan tanpa memberi ruang penjelasan dan permohonan maaf adalah sesuatu yang merencatkan aktiviti kesenian," kata kenyataan itu.

Baru-baru ini, akhbar berkenaan menerbitkan kartun yang memaparkan dua ekor monyet bergayut di sebuah pokok yang dinamakan pokok Akta 355 dengan menamakan haiwan berkenaan sebagai 'Hadi Awang' dan 'Speaker'.

Dalam karikatur itu, 'Hadi Awang' digambarkan memegang sebatang tongkat sakti sambil menikmati "keledek panas", manakala "speaker" melompat dari pokok itu, sambil berkata: "Simpan untuk hari kemudian."

Karikatur itu juga menunjukkan sekumpulan monyet bertekak di bawah pokok berkenaan.

Sehubungan itu, Animas menyeru kartunis agar menjaga sensitiviti serta bertanggungjawab atas karya yang dihasilkan.

"Kartunis harus bijak menggunakan ikon, simbol, indeks, simbolik serta semiotik dengan tepat dan jitu agar tidak disalah erti oleh masyarakat," katanya.