Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sukan Tak Sentral sudah tak disiar
Diterbitkan:  Apr 25, 2017 10:51 AM
Dikemaskini: 8:57 AM

Selepas mendapat kecaman hebat daripada masyarakat, penerbit rancangan Sukan Tak Sentral mengambil langkah drastik semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, mereka sudah menggantung khidmat pengacara program berkenaan, manakala siri berkenaan ditamatkan serta-merta.

"Azizul Ammar Abu Hassan digantung ekoran insiden mempersendakan nama ayah dan keluarga Watson Nyambek melalui rancangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Turut dikenakan tindakan, enam kru Sukan Tak Sentral - sebuah program hiburan yang bersiaran setiap Sabtu di TV3.

Bagaimanapun tidak dinyatakan selama mana penggantungan tugas berkenaan berkuat kuasa.

Sepanjang tempoh penggantungan itu, Ammar juga tidak akan dipanggil untuk mana-mana rancangan terbitan Primeworks Studios.

Memang singgung perasaan

Sukan Tak Sentral mengundang kemarahan Watson dan orang ramai apabila Azizul Ammar mempersendakan nama bapa bekas atlet kebangsaan itu dengan bunyi haiwan.

Watson sudah membuat laporan polis di Miri semalam. Dia turut bertemu dengan wakil TV3 di bandar berkenaan yang memohon maaf kepadanya. Bagaimanapun Watson enggan menerima permohonan maaf itu.

Delegasi bertemu Watson itu diketuai Ahmad Izham. Turut hadir, Azizul Ammar dan penerbit Sukan Tak Sentral, Abdul Ghani Mohd Mokhtar.

Menurut Ahmad Izham, perbuatan mempersendakan nama baik ayah dan keluarga Watson adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku.

"Kami akui, perbuatan tersebut telah menyinggung perasaan Watson dan juga masyarakat Malaysia secara amnya.

"Setelah membuat penelitian terhadap kes ini, kita telah mengambil langkah untuk menggantung perkhidmatan Ammar dan krew produksi dari segala rancangan terbitan Primeworks Studios," katanya.

Mengulas mengenai tindakan Watson yang membuat laporan polis, Ahmad Izham berkata Primeworks Studios sedia memberi kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berkuasa.

“Sebagai syarikat penerbit rancangan tersebut, Primeworks Studios tidak akan lari dari tanggungjawab dan kami komited untuk menyelesaikan isu ini dengan cara yang terbaik bagi Watson dan keluarganya,” katanya.

Untuk rekod, Primeworks Studios ialah sebuah syarikat penerbitan dan pengedaran rancangan televisyen Malaysia milik penuh Media Prima.

Lihat Komen
ADS