Festival Teater Negeri Sembilan 2017 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS) akan berlangsung di Kompleks JKKNNS di Seremban dari 24 hingga 29 Julai ini.

Pengarah JKKNNS Mohd Radzi Omar berkata festival ini memberi peluang kepada para penggiat dan penggerak teater untuk mementaskan karya masing-masing.

"Penyertaan adalah terbuka kepada persatuan teater, syarikat seni, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan. Setiap kumpulan wajib menghantar tiga salinan skrip, sinopsis, pengarah teater dan tenaga produksi ke jabatan ini sebagai bukti penyertaan," katanya.

Beliau berkata pemenang akan mewakili Negeri Sembilan pada pertandingan peringkat kebangsaan.

Borang penyertaan boleh diperolehi di JKKNNS dan tarikh tutup penyertaan pada 21 Jun ini.

Makluman lanjut mengenai festival boleh menghubungi Pegawai Kebudayaan JKKNNS Abdul Razak Mohd Said di talian 06-7676793.

-Bernama