Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Penyanyi AS bergoyang sakan nyanyi dangdut
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 4:19 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Dangdut - bagi sesetengah orang - mungkin dianggap picisan atau murahan.

Walaupun muzik itu biasanya mendapat sambutan di Indonesia dan Malaysia, baru-baru ini muncul seorang penyanyi baru membawakan lagu berirama dangdut yang mengasyikkan ramai.

Dia bukanlah penyanyi dari mana-mana negara di rantau Asia Tenggara, sebaliknya wanita kelahiran Delaware, AS.

Dikenali sebagai Danielle Desiree dia baru saja menerbitkan sebuah lagu berbahasa Indonesia, Kinyis Kinyis. Dan orang yang bertanggungjawab membawa Desiree ke depan ialah seorang penganjur Festival Dangdut Indonesia - AS, Rissa Asnan.

Media melaporkan Rissa mengajar Desiree untuk menuturkan bahasa Indonesia. Tugas untuk menyerapkan penghayatan kepada irama dangdut kepada Desiree pula mungkin tidak begitu sukar kerana dia memang sejak kecil gemar menonton filem Bollywood.

Dan Desiree memang menggemari apa yang ditontonnya kerana ia dari semasa ke semasa diwarnai dengan lagu dan tarian mengasyikkan.

Melalui lagu Kinyis Kinyis Desiree berpasangan dengan seorang penyanyi rap AS, Reign da God.

Lagu Kinyis Kinyis bercerita mengenai seorang gadis yang bercinta dengan lelaki lebih muda daripadanya. Lirik lagu berkenaan dihasilkan Sandy Sulung.

Biasanya lagu berirama dangdut dianggap sesetengah pihak sebagai muzik bertaraf marhaen kerana kadang-kadang ia dinyanyikan di kawasan kampung atau perayaan kecil.

Ia juga dianggap sebagai realiti kehidupan sesetengah orang yang teringin menjadi penyanyi sehingga sanggup melakukan sesuatu yang berbahaya demi bersaing di pasaran yang sengit.

Seorang penyanyi misalnya pernah meninggal dunia kerana dipatuk ular yang dibawa ke pentas untuk mengiringi persembahannya.

Lihat Komen
ADS