Yazid uzur, terkandas di Brunei
Terlewat tiga hari membuat rawatan susulan dialisis punca keadaan keadaan kesihatan pemain dram Yazid semakin memburuk dan akhirnya menyebabkan dia terkandas di Brunei Darussalam.
Menurut isteri Yazid, Ramlah Mat, apabila suaminya itu tiba-tiba sukar bernafas ketika dijadualkan pulang ke tanah air Sabtu lalu, dia memang berasa panik.
Katanya insiden itu berlaku ketika mereka serta ditemani seorang lagi rakan, Aly Haziq, sedang menunggu pesawat udara untuk terbang ke Malaysia.
“Sepatutnya kami dijadualkan balik pada 31 Julai. Mungkin kerana terlewat menjalani rawatan dialisis kesihatan abang Yazid meruncing.
“Namun, sekarang keadaan dia semakin stabil, cuma kami masih menunggu keputusan doktor yang perlu menjalankan rawatan lanjut," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Menurut Ramlah, Yazid dikejarkan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei apabila keadaan menjadi serius.
Harap doa semua
Katanya, mereka pergi ke Brunei untuk memenuhi undangan menjadi juri jemputan sebuah pertandingan kugiran tempatan, Battle of the Band Brunei yang berlangsung pada 28 Julai lalu.
“Kami juga pergi ke Brunei bagi mempromosi kumpulan baru diketuai Yazid iaitu Rampage,” katanya.
Menurut Ramlah, doktor masih perlu menahan Yazid di wad bagi memastikan kesihatannya benar-benar stabil sebelum dibenarkan pulang.
Jika semuanya berjalan baik dan tiada aral melintang, Ramlah berharap mereka dapat pulang ke Malaysia dalam waktu terdekat ini.
“Biasanya rawatan mengambil masa tiga jam, dan sebentar lagi abang Yazid akan dibawa untuk menjalani rawatan membuang saki-baki air yang berada di paru-parunya.
“Sekarang pun dah lewat petang, mungkin esok baru kami dapat pulang ke Malaysia,” katanya.
Yazid mengalami masalah buang pinggang sejak sembilan tahun lalu. Selain itu, dia dikatakan turut mula mengalami sakit urat saraf dan masalah di bahagian otak.
Sementara itu, Ramlah berharap peminat agar mendoakan kesihatan suaminya supaya mereka dapat kembali ke Malaysia semula.

