Walaupun dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak minggu lalu, keadaan pemain dram kumpulan Search Yazid Ahmad masih terkawal dan tidak serius.
Menurut Isterinya Ramlah Mat, keadaan Yazid mula dikesan tidak stabil Rabu lalu selepas mengadu kesakitan.
“Selepas dia dimasukkan ke hospital, doktor memberitahu terdapat jangkitan pada perut dan memberikan antibiotik.
“Keadaan dia hari ini dilihat seperti tiada apa-apa yang merunsingkan dan baru sebentar tadi abang selesai menjalani pemeriksaan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Apabila ditanya kemungkinan penyakit dihadapi mempunyai kaitan dengan gastrik, Ramlah berkata suaminya memang berhadapan masalah berkenaan.
“Abang perlu duduk di hospital sehingga doktor mengetahui punca sebenar keadaannya. Kami tidak pasti sama ada terdapat luka atau masalah lain," katanya.
Yazid mengalami masalah buah pinggang sejak sembilan tahun lalu. Beliau pernah dimasukkan ke hospital beberapa kali akibat penyakit itu.
Pada Julai lalu, Yazid dan keluarga terkandas di Brunei Darussalam selepas beliau terpaksa dikejarkan ke hospital apabila mengalami sesak nafas kerana terlewat menjalani rawatan dialisis.
Ramlah berkata peminat suaminya tidak perlu risau dengan kesihatan Yazid, sebaliknya sentiasa mendoakan yang terbaik buatnya.
“Saya berharap dia segera sembuh daripada penyakit ini, sudah lumrah apabila seseorang yang sakit sepertinya mudah mendapat penyakit lain,” katanya.
