Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Afdlin: Kami cuma beli baju, bukan pingat
Diterbitkan:  Sep 29, 2017 3:40 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Datuk Afdlin Shauki menegaskan darjah kebesaran yang diterimanya daripada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada Selasa lalu bukan pingat yang dibeli.

Pelakon dan pengarah berkenaan juga tidak mempedulikan cemuhan segelintir pihak mengenai pengiktirafan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepadanya itu.

Tiga sahabat baik Afdlin sebelum ini turut menerima pingat DIMP iaitu vokalis Wings Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, aktor Datuk Hans Isaac dan Datuk Mizal Zaini atau AC Mizal.

Menerusi akaun Instagram, Afdlin memuat naik gambar mereka segak berpakaian Melayu tradisional ketika menerima darjah kebesaran yang disifatkannya tidak pernah berlaku dalam sejarah industri hiburan tanah air.

“Tak sangka yang empat orang sahabat satu angkatan dapat mencapai kurnia ini sewaktu kami semua masih hidup.

“Saya amat bangga dengan sahabat yang lain. Peduli apa orang nak kata.

"Baju tu memang kami beli. Tapi kurnia kami tidak. Kurnia ini bukan kami cari,” tulisnya.

Menurut Afdlin, gelaran Datuk yang diterima merupakan pengiktirafan terhadap usahanya selama ini dalam bidang keusahawanan, penggiat seni dan sukarelawan.

Manfaat pada masyarakat

Katanya lagi, biarlah usaha yang dicurahkan kepada masyarakat selama ini dinilai oleh Tuhan dan bukannya pada pandangan umum.

“Kami hanya buat yang terbaik dalam hidup kami untuk memberi nafkah terbaik untuk keluarga kami. Tapi dalam perjalanan itu, ada manfaat juga yang diberikan kepada masyarakat.

“Terima kasih kepada pihak istana yang memberi pengiktirafan kepada kami sebagai anak seni, usahawan dan sukarelawan. Allah SWT saja tahu apa yang kita sudah buat dengan bakat, tenaga dan harta kami selama ini,” katanya.

Pelakon filem Buli itu turut berkongsi kisah mengenai kepayahan pernah dilalui iaitu menetap di rumah pangsa tetapi kini berjaya mengubah haluan hidupnya.

“Semoga kami dapat memberi peransang kepada sesiapa sahaja yang tak percaya yang seorang budak flat Sri Sabah boleh merubah hidup keluarganya dan menjadi pemangkin perubahan dalam industri atau masyarakat sekelilingnya.

“Terima kasih kepada yang menyokong kerja-kerja kami selama ini. Insya-Allah kami akan terus memberi yang terbaik dan membawa perubahan positif pada industri kami dan masyarakat Malaysia,” katanya sambil mengucap syukur ke hadrat Illahi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS