Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Artis mewah bersuara untuk rakyat susah itu mulia

Sama ada seseorang artis itu menjalani hidup mewah atau sebaliknya, bukan suatu dosa untuk mereka bercakap mengenai kehidupan masyarakat.

Kata penyanyi Mimpi Laila, Yasin Sulaiman, apa yang dibuat Datuk Sheila Majid adalah mulia dan berani, malah menggambarkan realiti yang ada di kalangan rakyat terbanyak.

“Umum tahu keadaan menjadi amat berbeza sejak GST (cukai barangan dan perkhidmatan) ada.

"Bukan Sheila saja yang cakap kos sara hidup naik dan nilai duit rendah, tapi semua orang cakap demikian. Itu adalah fakta.

“Lainlah kalau Sheila cakap kos sara hidup turun dan nilai duit menaik - itu barulah salah," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Nama Ratu Jazz Malaysia itu mula menjadi sebutan apabila beliau secara terbuka - melalui media sosial - menyampaikan keluhan mengenai keadaan semasa negara pada 5 Dis lalu.

"Makanan mahal, nilai ringgit lemah, kos sara hidup tinggi dan pekerjaan pula kurang.

"Rakyat Malaysia sudah bosan dan marah kerana diperah akibat hutang yang bukan berpunca daripada kami," katanya tanpa merujuk mana-mana pihak.

Sesuai dengan statusnya sebagai selebriti kenyataan itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk pemimpin politik - sama ada kerajaan atau pembangkang.

Tidak terkecuali, pegawai kanan kerajaan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata beliau kecewa kerana menganggap Sheila terkeliru antara kos sara hidup dengan kos gaya hidup.

"Kenapa dia mengadu mengenai kos sara hidup? Berapa pendapatannya?" soal Irwan semasa sidang akhbar di Cyberjaya petang semalam.

Menurut Irwan (gambar) kadar inflasi negara hanya 3.5 peratus tapi kenaikan gaji tahunan lebih tinggi iaitu lima hingga enam peratus dan sepatutnya dapat menampung kos inflasi.

"Terdapat kos, kos gaya hidup yang lain. Orang selalu keliru antara kos gaya hidup dan kos sara hidup, jika anda menambah kos gaya hidup, maka segalanya di luar kemampuan anda," katanya.

Selain Sheila, ramai juga artis lain yang bersuara, termasuk Fathia Latiff dan Adibah Noor.

Kata Yasin, 42, dia kagum dengan mana-mana artis yang mengambil berat kehidupan masyarakat dan mereka wajar dipandang mulia.

“Meskipun hidup dia mungkin tidak sesusah orang lain, tetapi dia tetap prihatin dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Tempuh dulu baru cakap

Bagaimanapun Yasin mengakui di negara ini keberanian memberikan pendapat tidak selamanya boleh dialu-alukan semua pihak.

Malah Yasin sendiri mengalaminya sejak lima tahun lalu.

Katanya jika bersuara tidak sehaluan dengan kerajaan atau sesebuah parti seseorang artis itu akan dipandang negatif.

“Saya nasihatkan untuk rakan artis, keberanian menyokong masyarakat akan memberi implikasi sangat teruk. Mereka boleh terhukum. Saya misalnya masih lagi disekat oleh beberapa stesen televisyen dan radio,” katanya.

Vokalis kumpulan Def Gab C, Asheed, pula berkata untuk seseorang artis bersuara mengenai kepayahan hidup, individu itu terlebih dahulu perlu merasai keperitan itu sendiri.

"Apabila jual tiket konsert sampai RM800 bermakna artis itu tidak termasuk dalam golongan orang ada masalah tertekan hidup.

“Bagi saya tidak perlu cakap soal tertekan kecuali kita mewakili peminat, dan mereka bertanyakan hal itu.

"Kita perlu tempuh dan alami dulu perkara itu (keperitan hidup) baru cakap," katanya.

Pakai selipar saja

Menurut Asheed, sebagai rakyat jika mengalami kesan sara hidup meningkat berbanding dulu, wajarlah mereka mencari ikhtiar untuk mengatasinya.

“Rezeki ni Tuhan akan bagi kalau kita cari macam mana pun. Insya-Allah di Malaysia ni tak adalah sampai tahap teruk sangat,” katanya.

Bagi pengarah dan pelakon Pekin Ibrahim pula, dia lega kerana tidak dihimpit isu berkenaan setakat ini.

Katanya, dengan mengamalkan gaya hidup sederhana, seseorang boleh terselamat daripada kekangan membebankan.

Ditanya mengenai isu dibangkitkan Sheila, Pekin berkata, dia tidak terfikir sehingga ke tahap itu kerana tidak hidup dengan gaya mewah.

Justeru katanya tidak timbul isu sedemikian.

“Gaya hidup saya mudah - keluar rumah pun saya pakai selipar saja.

"Yang terasa beban sara hidup tinggi itu mungkin kerana orang itu sudah biasa hidup mewah,” katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS