Keluarga model Belanda mohon bantuan Interpol
Kedutaan Belanda di Kuala Lumpur memohon Interpol untuk menyiasat kematian model Belanda, Ivana Esther Robert Smit, yang meninggal dunia di sebuah kondominium di Dang Wangi, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Permohonan kedutaan itu dibuat susulan permintaan oleh keluarga model, yang mengesyaki sesuatu “tidak betul” di sebalik kematian anak gadis mereka yang berusia 19 tahun itu.
Agensi berita Belanda melaporkan ayah Ivana, Marcel Smit sebagai berkata bahawa keluarga itu percaya anak perempuannya ditolak dan mendakwa terdapat tanda lebam di lehernya yang menunjukkan bahawa seseorang telah mencekiknya.
"Polis (Malaysia) tidak melakukan apa-apa dengan maklumat ini dan hanya mahu menutup kes dengan cepat.
"Kami mahukan keadilan," kata Smit.
Sementara itu, memetik laporan The Star, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian secara mengejut.
Laporan Dutch NL Times, pula memetik Marcel sebagai berkata, anaknya yang menghuni di unit tingkat ke-20 kondomominium itu bersama pasangan suami-isteri dari Amerika Syarikat dan Kazakhstan itu ditolak jatuh.
Marcel dimaklumkan polis tempatan bahawa anaknya jatuh sekitar jam 10 pagi.
Terdapat beberapa tanda lebam di leher anaknya yang jelas menunjukkan dia dicekik sebelum terjatuh dan ditemui dalam keadaan bogel di balkoni sebuah unit di tingkat enam kondominium berkenaan.
Ivana turut dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol. Polis juga dilaporkan memberitahu keluarga Ivana bahawa mereka mendapati terdapat kesan alkohol, ekstasi, dan amphetamine semasa bedah siasat.
“Berlaku perkara begitu aneh apabila pasangan Amerika itu tidak berbuat apa-apa dari jam 10 pagi hingga 3 petang.
“Barang kepunyaan Ivana masih di dalam apartmen terbabit. Dan polis memberitahu kenyataan mereka berdua adalah sama.
“Sudah tentu, kerana mereka mempunyai tujuh jam untuk menyelaras semula kejadian berkenaan.
"Dalam keadaan itu, insiden membabitkan anak perempuan saya dilihat sudah tidak lagi bercanggah. Saya mahukan keadilan,” katanya
Katanya, jiran-jiran turut mengadu mendengar jeritan dan pertelingkahan.

Ivana sehari sebelum itu membuat panggilan kepada teman lelakinya sekitar jam 7.25 pagi pada Khamis dan memberitahu dia keluar sepanjang malam untuk minum bersama pasangan berkenaan.
Ivana pernah memenangi tempat ketiga dalam Carian Supermodel Malaysia 2014 pada usia 15 tahun.

