Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad meninggal dunia di Hospital KPJ, Kajang kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Allahyarham yang juga bekas ahli parlimen Sik dilapor menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun.
Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Saifullizan Yahaya, berkata beliau dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Asrul Sani.
"Jenazah akan disolatkan di Surau Madani Seksyen 3 Bandar Baru Bangi selepas solat Zuhur hari ini," katanya seperti dilapor BH.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak.
Dilahirkan pada tahun 1933 di Sik Kedah, Shahnon mula menghasilkan novel pertamanya, Rentong pada 1956.
Sejak itu nama Shahnon semakin dikenali dan karya-karyanya banyak mengetengahkan isu masyarakat dan soal kemiskinan.
Antara novel terkenal beliau ialah Ranjau Sepanjang Jalan (1966) yang dijadikan teks sastera tingkatan enam dan diangkat ke layar perak pada 1983.
Selain itu, novel Srengenge (1973) dipilih sebagai novel terbaik dan memenangi Panel Hadiah Karya Sastera 1973.
Selain terlibat dalam dunia sastera, penerima anugerah Sasterawan Negara pada 1982 ini juga pernah bergiat aktif dalam politik.
Allahyarham menyandang jawatan ahli Parlimen Sik mewakili PAS dari tahun 1999 hingga 2004.
