Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Keguguran tak buat Mia Ahmad hilang semangat
Diterbitkan:  Dec 29, 2017 6:49 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Apabila impiannya untuk bergelar seorang ibu tidak kesampaian, pelakon Mia Ahmad menganggap semua itu merupakan ujian yang telah ditakdirkan kepadanya.

Mia Ahmad yang mengalami insiden keguguran baru-baru ini berasa dia tidak perlu hilang semangat untuk sekali lagi berbadan dua.

Malah Mia, 29, juga tidak mahu terus-menerus memikirkan musibah yang menimpanya

“Saya akur dengan apa yang terjadi dan saya sendiri sudah tidak lagi terkesan dengan insiden terbabit. Saya yakin, pasti ada hikmah di sebalik semua ujian itu. Insya-Allah, dia (anak) sedang menunggu saya di syurga.

“Saya juga melihat semua dugaan itu dari sudut yang berbeza. Saya seperti insan terpilih untuk melalui ujian sedemikian.

“Namun, andai ada rezeki untuk hamil lagi, saya pastinya sekali-kali takkan menolak. Saya dan suami memang inginkan cahaya mata,” kata pemilik nama sebenar Samihah Ahmad Baderi itu.

Mia mendirikan rumah tangga dengan penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim, Mohd Izham Tarmizi Roslan pada 13 Januari lalu.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Hati Perempuan itu terpaksa berlapang dada dengan menganggap ujian yang diberikan itu sebagai ruang untuk dia memperkasakan dirinya sebagai manusia.

Malah Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Telenovela 2017 yang berlangsung baru-baru ini mengharapkan masih ada sinar kebahagiaan untuk tahun 2018 nanti.

“Jujur, apabila disahkan hamil dulu, sayalah insan paling teruja dan tidak sabar nak jadi ibu. Jadi, saat diuji dengan keguguran, kesedihan memang tak dapat dibendung. Begitupun, lama-kelamaan saya kembali seperti biasa.

“Semangat suami yang kuat menjadi azimat untuk saya bangkit semula. Kalau saya bersedih, pasti dia kena jadi lebih kuat daripada saya,” katanya dalam laporan BH Online.

Lihat Komen
ADS