ULASAN FILEM | Agak tertinggal jauh di belakang sewaktu menonton filem The Foreigner arahan Martin campbell ini.

Di sebalik kegairahan memuncak untuk filem adiwira Justice League dan fiksyen Star Wars: The Last Jedi, The Foreigner seakan-akan tenggelam.

Namun, ia sebuah filem yang baik untuk ditonton. Malah, jika tidak melampau, ia sebuah filem hebat dan menghiburkan, khasnya untuk peminat genre aksi.

The Foreigner yang diadaptasi daripada novel The Chinaman oleh Stephen Leather.

Tidak pasti kenapa tajuk itu diubah apabila difiliemkan. Adakah untuk menjaga sensiviti masyarakat, tidak pula dapat dipastikan.

Apa yang pasti, watak Jackie Chan sebagai Quan tetap dipanggil Chinaman sepanjang filem.

The Foreigner mengisahkan seorang ahli perniagaan kecil-kecilan (Quan) yang tidak dikenali cuba melangsungkan kehidupan dengan anak perempuannya di tengah kota London.

Seperti penduduk lain di kota raya itu, Quan cuma lelaki biasa, menjalani kehidupan biasa, rutin harian biasa dan sekadar mahu menyara keluarganya.

Namun segalanya berubah apabila kota London diserang oleh puak-puak pelampau Ireland.

Lakonan Brosnan juga berkesan

Apa yang menarik perhatian, sewaktu mula menonton terdapat anggapan bahawa filem ini seangkatan dengan filem Death Sentence lakonan Kevin Bacon.

Namun selepas 30 minit suasana dan hala tuju filem ini lebih mirip kepada The Equalizer lakonan Denzel Washington, John Wick lakonan Keanu Reeves dan I Am Wrath lakonan John Travolta.

Aksi-aksi di dalam filem ini walau tidak bombastik tapi secukup rasa dan masih mampu menggerakkan adrenalin ke paras tinggi.

Aksi Jackie Chan masih tidak berubah. Tetap ikonik dan dikenali. Barangkali jika ia diubah, pasti tidak menjadi dan hambar.

Apa yang lebih menarik ialah, emosi kelam - seperti marah, sedih dan dendam - yang dipaparkan oleh Quan berjaya menampakan apa yang dialami jiwanya.

Ia kelihatan jelas pada matanya. Dan disebalik aksi-aksi tersebut, ketuaan Jackie memang nampak terserlah. Faktor ini juga menjadi penggerak cerita dan watak Pierce Brosnan.

Brosnan yang memegang peranan ahli politik juga berjaya membawa wataknya dengan baik. Dan sewaktu pertembungan dua watak utama itu, Brosnan berjaya mempamerkan watak yang dikawal antara takut dan gementar.

Jika anda mencari sebuah filem sebagai penutup tirai 2017, The Foreigner mampu memberi anda kepuasan.

Ia tidak megah seperti John Wick, tidak sesempurna The Equalizer atau sekelam kabut I Am Wrath.

Filem ini beridentiti, membawa suara dan atmosfera tersendiri dan mampu berdiri dan berlari seiring dengan mereka.

Adakah suatu hari nanti keempat-empat watak ini akan bertemu? Sama-sama kita tunggu.