Peminat Game Of Thrones terpaksa menunggu hingga tahun 2019 sebelum berpeluang menonton musim akhir drama fantasi itu di kaca televisyen.

Tempoh itu melebihi setahun sejak drama berkenaan yang pernah merangkul puluhan anugerah mengakhiri musim ketujuh.

Menurut kenyataan dikeluarkan saluran HBO, penonton akan dihidangkan dengan enam episod pada musim akhir. Bagaimanapun tiada sebarang maklumat didedahkan mengenai tarikh rasmi drama itu akan ditayangkan.

Siri diterbitkan HBO ini mendapat jumlah capaian paling tinggi dengan 30 juta penonton di Amerika Syarikat (AS), manakala selebihnya adalah peminat setia dari seluruh dunia.

Menurut HBO, musim akhir dijangka akan mendedahkan siapa antara Tujuh Kerajaan di Westeros yang berdepan konflik bakal memenangi perjuangan untuk memenangi Iron Throne.

Penggambaran episod musim akhir itu bermula pada Oktober lalu dan dijangka berlangsung hingga pertengahan tahun ini.

Ketua Saluran HBO, Casey Bloys berkata, rakaman bahagian akhir akan dibuat beberapa kali bertujuan mengelak daripada kebocoran maklumat kepada umum.

Pencipta drama itu David Benioff dan D B Weiss pernah memberitahu Weekly dalam satu wawancara pada 2016 bahawa mereka berniat untuk menghasilkan musim akhir dengan sehebat yang mungkin.

Menurut kenyataan HBO lagi, Benioff dan Weiss akan mengarahkan musim akhir berkenaan.

Tempoh yang lama antara musim ketujuh dan kelapan turut memberi peluang kepada penulis George RR Martin menyiapkan satu atau dua novel Game of Thrones yang sedang diusahakan pada Julai.