Vokalis kugiran legenda Indonesia Koes Plus, Yon Koeswoyo meninggal dunia hari ini, menurut laporan CNN Indonesia.
Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan punca kematian Yon, atau nama sebenarnya, Koesyono Koeswoyo.
Namun, laporan itu menyebut Yon pernah mengalami sesak nafas dan masalah paru-paru pada 2016, sehingga terpaksa dirawat di hospital selama lebih sebulan.
"Katanya tiada harapan. Tetapi kerana anda semuanya, saya diberi kesembuhan," katanya ketika itu.
Vokalis kumpulan d'Masiv, Ryan Ekky Pradipta memuatnaik gambarnya ketika melawat Yon di hospital, sejurus selepas mendapat tahu tentang kematian itu.

"Musisi dan penyanyi Koes Plus Yon Koeswoyo (78 tahun) pagi ini, Jumaat 5 Januari, 2018, telah pergi dengan tenang. Berdoa semoga dilapangkan jalannya," katanya di Instagram.
"Terima kasih atas karyamu untuk Indonesia...(dan) membuat hidup saya berwarna dengan lagumu dari kecil hingga sekarang," katanya lagi, dalam satu posting yang lain.
Yon meninggal dunia ketika berusia 78 tahun.
Koes Plus bermula di persada muzik Indonesia sejak 1969. Memainkan irama pop, kumpulan yang pada mulanya bernama Koes Bersaudara (kerana dianggotai 5 adik-beradik) mengeluarkan lebih 100 album sepanjang aktif dalam dunia muzik.
