Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
#MalasNakLayan 'hadiah istimewa' Boy Iman buat kaki kecam

Namanya masih 'panas' ekoran isu yang dibangkitkan sebuah persatuan pengguna di negara ini. Malah Datuk Boy Iman pernah ditahan reman oleh polis beberapa kali.

Kini hasil "sel-sel otak yang berhubung" antara pelakon terbabit dengan Pengurus Besar DBI Entertainment, Lyana Zulkepli, maka lahirlah sebuah klip video berjudul #MalasNakLayan.

Ia didakwa menjadi "hadiah" daripada Boy Iman buat orang ramai yang tidak henti-henti ‘mendoakan’ dirinya.

Klip berkenaan kata Lyana secara simboliknya ibarat membina tembok besar terhadap serangan bertalu-talu dibuat pejuang papan kekunci ketika isu Boy Iman hangat diperkatakan.

“Beliau yang mula-mula bersuara mengenai penerbitan sebuah klip video ini, tetapi pada masa sama, sebenarnya ia memang sudah ada dalam perancangan saya.

"Ia diinspirasikan oleh netizan yang tiba-tiba mengganas jadi pejuang papan kekunci.

"Mereka ini tidak tahu cerita sebenar tetapi gemar menghentam saja,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Lyana klip video memaparkan Boy Iman sebagai subjek utama itu cukup ringkas namun "padat isi kandungan" termasuk dengan penggunaan lirik yang mudah difahami.

Katanya kalau orang ramai mendengar betul-betul lirik lagu berkenaan ia sebenarnya memancarkan suara dari hati Boy Iman.

Klip video #MalasNakLayan itu diarah oleh Raja Azrey dan Tony Hideri, manakala lagu dan liriknya digubah Edry Abdul Halim. Ia dinyanyikan sepenuhnya Boy Iman dan dimuat naik oleh DBI Entertainment di YouTube sejak 12 Jan lalu.

Sampai doakan mati

Hasil semakan Malaysiakini hingga ke tengah hari ini mendapati klip berkenaan hanya berjaya memperoleh sebanyak 251 like berbanding 4,000 pelayar yang menekan butang dislike.

Manakala ruang komen yang pada awalnya dibuka kini tidak lagi diaktifkan.

Ditanya mengapa langkah berkenaan diambil Lyana berkata ia adalah strategi mereka sendiri.

Pada masa sama katanya mereka sekadar membiarkan orang yang tidak senang dengan Boy Iman tetap geram dan meroyan.

"Mereka hanya komen ikut sedap jari tanpa ada akal.

“Apabila mereka tak dapat komen, pasti hati juga menjerit-jerit dari situ mereka akan sampaikan kepada teman-teman," katanya.

Bagi DBI Entertainment, kata Lyana (gambar), seburuk-buruk kontroversi boleh menjadi publisiti terbaik bagi sesuatu produk.

Bagaimanapun katanya bukan semua orang memberikan komen negatif, kerana di celah-celah kemarahan ramai itu tetap ada komen positif.

Lyana menjelaskan, tujuan ruang komen itu ditutup kerana pejuang papan kekunci dilihat sudah melampaui batas.

Katanya, turut ada di antara mereka yang mencemuh hingga membabitkan keluarga Boy Iman.

“Ada yang sampai mendoakan bukan-bukan, matilah, apa-apalah,

"Dalam hal ini sepatutnya mereka tak perlu mengaitkan keluarga Boy Iman,” katanya.

Lihat Komen
ADS