Kru filem dakwa tak dapat bayaran
Sekumpulan kru penerbitan filem mendakwa mereka tidak mendapat bayaran yang sepatutnya daripada sebuah syarikat penerbitan selepas perkhidmatan mereka digunakan.
Justeru pihak terbabit memberi tempoh tujuh hari sebelum mempertimbangkan langkah selanjutnya, termasuk mengambil tindakan undang-undang.
Presiden Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PKIDM) Muhammad Dean Lau mendakwa syarikat produksi terbabit gagal menepati perjanjian yang dimeterai selain pekerja itu berasa diperdaya.
Menurut Dean, jumlah bayaran yang dituntut dianggarkan berjumlah RM50,000 membabitkan baki bayaran tugasan dan penyewaan van.
"Kontrak perjanjian tidak dimeterai dengan duti setem malah ada kontrak yang ditukarkan kepada kontrak lain.
"Kru-kru turut menerima cek tendang daripada syarikat produksi diberhentikan tanpa sebarang sebab, malah diperdaya dengan janji bahawa penggambaran akan disambung selepas mendapat sumber kewangan.
"Padahal penggambaran diteruskan dengan kru-kru baru," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur semalam.
Menurut Muhammad Dean PIDKM akan mengambil tindakan mahkamah jika syarikat serta individu yang dinamakan mereka tidak mengambil langkah positif selepas tempoh diberikan tamat.
Sebelum ini katanya kru terbabit pernah cuba mendapatkan bantuan daripada beberapa persatuan dan badan namun tidak membuahkan hasil.
"Laporan lisan dan bertulis telah dibuat kepada Profima, Finas, dan FDAM, namun tidak mendapat maklum balas sewajarnya," katanya merujuk kepada Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia.
Muhammad Dean memberitahu laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Ampang Jaya oleh salah seorang kru bagi mewakili 18 individu lain.
Malaysiakini tidak dapat mendedahkan butiran individu dan syarikat terbabit sementara menunggu reaksi mereka berhubung dakwaan yang dibuat.

